'Jangan tangguh projek pelebaran jalan'
SELAYANG - Projek pelebaran Jalan Selayang Baru daripada dua laluan kepada empat laluan perlu dilaksanakan seiring dengan pembinaan Pasar Harian Selayang dan pusat penyembelihan ayam halal yang sedang giat berjalan.
Timbalan Pengerusi Persatuan Peniaga Melayu Pasar Harian Selayang, Mohd Rasheed Sultan Afshur, 58, berkata, sepatutnya masalah kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut diselesaikan terlebih dahulu sebelum peniaga dipindahkan ke Pasar Harian Selayang.
Beliau bimbang sekiranya masalah kesesakan lalu lintas tidak ditangani secara menyeluruh, keadaan akan menjadi lebih teruk sekiranya Pasar Harian Selayang dibuka dan pusat penyembelihan ayam halal beroperasi.
Menurutnya, berdasarkan perancangan Kementerian Wilayah Persekutuan, pelaksanaan projek penyembelihan ayam halal dan pembinaan bangunan Pasar Harian Selayang baharu perlu dilaksanakan bersekali dengan projek pelebaran Jalan Selayang Baru.
"Sekarang bila projek pasar sudah siap hampir 60 peratus, projek pelebaran jalan masih tidak dapat dijalankan kerana ada premis perniagaan yang menceroboh rizab jalan, manakala projek penyembelihan ayam halal berdepan tindakan sabotaj pihak tertentu.
ARTIKEL BERKAITAN: Pusat sembelihan ayam miliki lesen operasi sejak 2009: MPS
"Kami turut hairan adakah pihak tertentu begitu 'kebal' sehingga tiada tindakan diambil terhadap mereka meskipun secara terang-terangan cuba menghalang kelancaran projek berkepentingan awam?
"Justeru, pihak persatuan mendesak kerajaan jangan menangguhkan pelaksanaan dua projek penting bersekali dengan projek pembinaan pasar harian baharu hanya disebabkan sabotaj pihak terbabit," katanya kepada Sinar Harian di pekarangan Pasar Harian Selayang di sini.
Perniagaan suram
Mohd Rasheed berkata, pelaksanaan tiga projek itu sebenarnya sangat penting bagi memudahkan pengguna mendapatkan produk ayam terjamin halal di samping aksesibiliti ke pasar borong menjadi semakin mudah.
Menurutnya, peniaga Pasar Harian Selayang asal yang kini berniaga di tapak sementara turut dibimbangi enggan masuk ke dalam bangunan pasar baharu untuk berniaga sekiranya projek pelebaran Jalan Selayang Baru tidak disiapkan mengikut jadual dan spesifikasi asal.
"Keadaan itu pastinya akan memberi kesulitan kepada peniaga-peniaga yang kembali berpindah ke dalam bangunan pasar baharu yang bakal siap kelak kerana aktiviti perniagaan mereka akan suram dibayangi aktiviti perniagaan di luar premis Pasar Harian Selayang baharu.
"Sudah tiba masa untuk semua pihak memikirkan keutamaan projek berkepentingan awam berbanding perkara-perkara hanya melibatkan kepentingan peribadi segelintir pihak," katanya.
Mohd Rasheed turut menuntut lebih banyak lot niaga diberikan kepada ahli persatuan itu yang terdiri lebih 500 orang di bangunan Pasar Harian Selayang baharu kelak.
Menurutnya, pelaksanaan projek bernilai RM80 juta itu dijangka menawarkan lot niaga lebih 700 unit yang perlu direbut oleh lebih 1,000 peniaga termasuk peniaga Cina dan kaum lain.
"Sehingga kini, masih belum ada perbincangan dengan DBKL mengenai jumlah lot niaga yang akan diagihkan kepada persatuan kami.
"Namun kita menuntut lebih ramai penglibatan peniaga bumiputera mendapat lot niaga di Pasar Harian Selayang pada kali ini bagi mengelakkan monopoli pihak tertentu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!