Tutup operasi pusat penyembelihan

Kewujudan lebih lapan premis operasi pusat penyembelihan ayam di sekitar Pasar Harian Selayang memberi kesan negatif dari aspek kebersihan dan kesesakan lalu lintas. (Gamabr kecil: Roger Arvind) - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

A
A
A

SELAYANG - Penduduk Pangsapuri Taman Selayang Makmur mendesak Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menutup operasi sebuah pusat penyembelihan ayam secara haram yang terletak di belakang taman perumahan itu yang wujud sejak lebih 20 tahun lalu.

Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri Taman Selayang Makmur, Roger Arvind, 46, berkata, pusat penyembelihan ayam secara haram itu tidak menyediakan instalasi pengolahan air limbah atau 'waste water treatment plant' menyebabkan air bertakung dan berbau busuk.

Arvind turut mendakwa, kira-kira 80,000 ekor ayam disembelih secara haram dan tidak mematuhi piawaian halal di sekitar Pasar Borong Harian Selayang.

“Tempat sembelih ayam itu tidak konsisten, tidak terurus malah sisa-sisa ayam berterabur sehingga mengundang tikus dan lalat-lalat. Sebelum ini sudah banyak kali surat bantahan dikemukakan kepada MPS. Apabila serbuan dilakukan, mereka hanya tutup operasi selama dua minggu sebelum beroperasi semula.

“Kali ini kita mahukan pusat penyembelihan haram itu ditutup sepenuhnya di samping menyokong pelaksanaan segera projek pembinaan pusat penyembelihan ayam bersepadu di tapak yang diluluskan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) seluas 1.2 hektar,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Keadaan sebuah pusat penyembelihan ayam yang didakwa beroperasi secara haram menggusarkan penduduk Rumah Pangsa Taman Selayang Makmur. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Keadaan sebuah pusat penyembelihan ayam yang didakwa beroperasi secara haram menggusarkan penduduk Rumah Pangsa Taman Selayang Makmur. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

Beliau berkata, kewujudan pusat sembelihan ayam bersepadu itu bukan sahaja dapat memberikan kemudahan kepada aktiviti sembelih ayam tetapi juga dapat dikawal daripada segi kebersihan kerana sistem loji rawatan air moden dan sisa buangan pepejal turut disediakan.

Pusat penyembelihan itu juga bakal menyediakan 800 lot untuk pembekal dan peniaga ayam serta lebih 1,000 petak letak kereta untuk pelanggan Pasar Borong Harian Selayang.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Malaysia (G3PM) turut menyokong projek pembinaan pusat penyembelihan ayam halal bersepadu di Pasar Borong Harian Selayang kerana bersesuaian dengan kehendak semasa peniaga dan pelanggan di sekitarnya.

Keadaan tapak projek pusat penyembelihan ayam halal berdekatan Pasar Harian Selayang yang masih gagal dilaksanakan gara-gara berhadapan tentangan pihak tertentu. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Keadaan tapak projek pusat penyembelihan ayam halal berdekatan Pasar Harian Selayang yang masih gagal dilaksanakan gara-gara berhadapan tentangan pihak tertentu. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

Presidennya, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, projek itu bakal memberi impak positif kepada warga kota dengan kapasiti pembekalan 80,000 hingga 120,000 ekor ayam bersih dan halal kepada pengguna setiap hari.

“Selain itu, setiap pemprosesan dan penyembelihan ayam bakal dipantau oleh Jakim (Jabatan Agama Islam Malaysia), Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Kementerian Kesihatan menerusi pusat itu.

“Projek itu merupakan keputusan komprehensif kepada peniaga ayam menyediakan stok jualan mereka mengikut piawaian tinggi, bersih dan halal serta patuh syarak halalan-toyyiban buat pengguna,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!