Ketum: Kerajaan perlu dasar yang jelas
GEORGETOWN - Kerajaan perlu merangka satu dasar yang jelas dan tegas sebelum membenarkan penggunaan ketum di negara ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, dasar itu perlu diwujudkan dahulu bagi mengelakkan pihak tertentu mengambil kesempatan dengan menyalahgunakan penggunaan ketum.
Menurutnya, terdapat segelintir pihak yang kreatif melalukan ubah suai ketum dan mengakibatkan kesan lain terhadap penggunaannya.
“Ini yang jadi masalah dan kita risaukan. Kita bimbang bila kita mengambil keputusan untuk membenarkan penggunaan ketum ini, kemudiannya berlaku penyalahgunaan ketum.
“Sekiranya tiada polisi yang jelas tentang penggunaan dan pengawalan terhadap ketum ini, kita tidak boleh membenarkan penggunaannya kepada orang ramai.
"Kita tidak mahu nanti esok, lusa bertambah satu lagi masalah kepada negara seperti masalah dadah yang kemudiannya menjadi bebanan kepada kerajaan,” katanya ketika ditemui pada sidang media di sini semalam.
Terdahulu, Azis yang juga Yang Dipertua (YDP) Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan Pemadam Kebangsaan ke-44 di sini.
Beliau menegaskan, Pemadam juga masih dengan pendirian tidak bersetuju kebenaran diberikan terhadap penggunaan ketum kepada orang ramai.
Sementara itu, beliau turut mengingatkan semua YDP Pemadam di setiap negeri supaya tidak menggunakan persatuan itu untuk kepentingan politik.
“Kita tidak mahu Pemadam terpesong dari matlamat utamanya. Program-program yang dianjurkan perlu menjurus ke arah memberi penerangan dan maklumat kepada anak-anak tentang dadah.
“Justeru, saya menasihatkan semua YDP tidak kira di negeri pembangkang mahupun kerajaan, saya minta jangan disalahgunakan aktiviti Pemadam untuk kepentingan politik,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!