'PRU15 lebih cepat kalau BN menang PRK Tanjung Piai'
PONTIAN - Pilihan Raya Umum ke-15(PRU15) dijangka akan berlaku lebih cepat sekiranya calon Barisan Nasional(BN) memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai pada 16 November ini
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khalid Norden berkata, PH juga dijangka mendapat tekanan sangat kuat sekiranya calon mereka kalah.
Menurutnya, keyakinan pihaknya diperkukuhkan dengan situasi kedudukan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak kukuh kerana Bersatu mempunyai bilangan kerusi Parlimen sedikit.
"Ketiadaan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) memberi sokongan kepada calon Bersatu pada hari penamaan calon boleh menjadi petunjuk terdapat usaha hendak sabotaj pengaruh Bersatu dalam PH.
"Sebab itu saya kata kalau BN menang, tekanan dihadapi PH sangat kuat dan mungkin kita lagi cepat berdepan PRU15," katanya sewaktu menyampaikan ceramah kelompok BN di pusat daerah mengundi (PDM) Pekan Nanas Tengah, semalam.
Turut hadir calon BN dari MCA, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.
Dalam perkembangan lain, Mohamad Khaled turut menekankan dua objektif Muafakat Nasional sebagai petunjuk agar pengundi Melayu di Tanjung Piai membuat pilihan terhadap calon BN pada PRK Parlimen Tanjung Piai.
Menurutnya, syarat pertama mesti wujud kekuatan politik Melayu Islam yang tujuannya supaya dapat berhadapan cabaran dihadapi masyarakat Melayu islam.
"Pendek kata, dengan wujud kerjasama kita dapat lahir kuasa politik Melayu dominan dan sangat kuat, mungkin kawasan kita majmuk, di kawasan dominan, kuasa ini akan mengalahkan PH,"
"Semasa PRU14 lalu, Pas bersendirian namun, kini telah bersama dengan BN yang terasnya adalah UMNO.
"Kita berusaha, aspirasi orang johor, negeri Johor mesti menjadi Islamik, kita mesti mengukuh keterlibatan orang Melayu dalam ekonomi dan ketiga pertahan budaya orang Melayu," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Calon MCA janji hantar warga emas tunai umrah jika menang PRK
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!