RM2 juta untuk 3,750 pesakit tibi
SHAH ALAM - Prihatin dengan nasib pesakit tuberkulosis (tibi) berpendapatan rendah yang lewat mendapat rawatan kerana masalah kewangan, Kerajaan Selangor memperuntukkan sebanyak RM2 juta pada Belanjawan Selangor 2020 bagi tujuan rawatan kepada golongan itu.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, peruntukan itu bakal memberi manfaat kepada kira-kira 3,750 pesakit tibi berpendapatan isi rumah kurang daripada RM1,000.
Menurutnya, pesakit tibi boleh mendapatkan rawatan sempurna selama enam bulan.
“Program ini julung kali diadakan di negara ini bagi menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri mengurangkan kes penyakit tibi,” katanya ketika pembentangan Belanjawan Selangor 2020 Jumaat lalu.
Menurutnya, penyakit tibi bukan sahaja mencatatkan kes tertinggi di negeri ini tahun lalu malah turut merekod peningkatan kematian.
“Punca utama penularan penyakit ini adalah kerana pesakit lewat atau gagal mendapatkan rawatan sempurna.
“Berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), sebanyak 74 peratus pesakit berpendapatan kurang RM1,000 gagal mendapatkan rawatan sempurna akibat masalah kewangan dan kos sara hidup,” katanya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!