Super KIP bakal beraksi di GP Valencia, ganti Ayumu Sasaki
KUALA LUMPUR - Setelah hampir enam bulan tidak beraksi akibat kecederaan, Khairul Idham Pawi dijangka kembali bersaing pada Grand Prix (GP) Valencia bagi menggantikan pelumba Moto3 Petronas Sprinta Racing Team (SRT), Ayumu Sasaki pada pusingan terakhir Kejuaraan Motosikal Dunia 2019 itu.
Prinsipal pasukan Petronas SRT, Datuk Razlan Razali mengesahkan perkara berkenaan dan pelumba yang dikenali sebagai Super KIP itu sudah dimaklumkan mengenai peluang berlumba pada pusingan ke-19 kejuaraan dunia itu yang dijadual berlangsung dari 15 hingga 17 Nov.
"Biasanya kecederaan seperti dialami Ayumu akan mengambil masa agak lama untuk pulih dan beliau akan kembali ke Jepun esok (hari ini) untuk mendapatkan pandangan kedua daripada doktor pakar di negaranya.
"Sementara Super KIP pula akan mendapatkan pandangan pakar daripada Pusat Perubatan Sukan Kuala Lumpur (KLSMC) pada esok (hari ini) untuk lihat proses pemulihan kecederaannya," kata Razlan ketika ditemui media di Litar Sepang, semalam.
Pelumba Jepun berusia 19 tahun itu patah pergelangan tangan pada perlumbaan kelas Moto3 di GP Malaysia 2019, semalam, dan dinasihatkan untuk berehat bagi memastikan kecederaan beliau pulih sepenuhnya.
Prestasi Khairul Idham yang merupakan pelumba Moto2 Petronas SRT tidak menjadi musim ini, susulan kecederaan jari yang serius ketika perlumbaan di Jerez, Sepanyol pada Mei lalu, sekali gus beliau diturunkan untuk beraksi dalam kelas Moto3 pada musim depan.
Razlan berkata, penyertaan Khairul Idham di Valencia nanti membolehkan pasukan Petronas SRT menilai prestasi pelumba kelahiran Perak itu sebelum memulakan aksi sebenar dalam kejuaraan Moto3 musim 2020.
"Bagi saya itu satu benda positif. Kita boleh tengok sama ada dia (Super KIP) boleh bawa jentera tersebut atau tidak sebelum perlumbaan percubaan di Jerez. Saya mahu tengok macam mana Khairul Idham berlumba di Moto3 walaupun ia pusingan terakhir,” katanya.
Mengenai prestasi pasukan Petronas SRT pada GP Malaysia, Razlan mengakui sedikit kecewa apabila pelumba pasukan berkenaan tidak menamatkan perlumbaan dalam kedudukan terbaik dalam ketiga-tiga kelas perlumbaan (MotoGP, Moto2 dan Moto3).
Razlan, bagaimanapun berkata, secara keseluruhan pencapaian pasukan MotoGP pertama Malaysia itu pada musim ini selepas 18 perlumbaan sangat membanggakan.
"Perlumbaan pertama di laman sendiri sepatutnya menjadi kebanggaan buat Malaysia, tetapi bila difikirkan balik, pencapaian keseluruhan musim ini sudah terlalu bagus untuk pasukan yang pertama kali berlumba di Kejuaraan Motosikal Dunia.
"Mungkin disebabkan pelumba kita selalu naik podium, jadi kita harapkan salah seorang daripada mereka muncul juara di Sepang," katanya yang mendedahkan dua sasaran yang ditetapkan Petronas kepada pasukan berkenaan musim ini sudah tercapai.
Untuk rekod, pelumba Petronas Yamaha SRT, Fabio Quartararo merangkul gelaran ‘Rookie of the Year MotoGP’, manakala pasukan berkenaan dinobatkan sebagai ‘MotoGP Top Independent Teams” musim ini.
Di GP Malaysia, Franco Morbidelli dan Quartararo masing-masing berada di kedudukan keenam dan tujuh dalam kelas perdana (MotoGP) walaupun bermula di petak pertama dan ketiga.
Bagi perlumbaan kelas Moto2, Adam Norrodin yang menggunakan slot Khairul Idham tidak menamatkan perlumbaan selepas jatuh pada pusingan kelima, manakala dalam kelas Moto3, John McPhee mengakhiri cabaran di kedudukan ketujuh sementara rakan sepasukan, Ayumu Sasaki gagal meneruskan saingan setelah terjatuh di pusingan kesembilan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!