Penduduk Perlis diminta waspada ancaman ribut tropika Pabuk

Penduduk tempatan meninjau keadaan ombak dan laut yang bergelora di benteng pemecah ombak berhampiran kediaman di Pantai Pulau Kundur. - Foto Bernama
Penduduk tempatan meninjau keadaan ombak dan laut yang bergelora di benteng pemecah ombak berhampiran kediaman di Pantai Pulau Kundur. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA PERLIS - Penduduk di Perlis dinasihatkan supaya berwaspada dan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling memandangkan ribut tropika Pabuk belum berakhir dan dijangka melanda negeri ini pada bila-bila masa.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis Lt Kol Ishak Mohd Radzi berkata walaupun buat masa ini ribut itu sedang menghampiri kawasan Segenting Kra, Thailand, namun ‘tempiasnya’ boleh sampai ke utara semenanjung.

“Kita dah bersedia dengan pelbagai kelengkapan seperti bot, jentera dan sebagainya di samping bantuan dari pelbagai agensi berkaitan sekiranya ribut itu melanda negeri ini,” kata beliau selepas melakukan tinjauan di pesisiran pantai Kurong Tengar di sini hari ini.

Katanya tiupan angin di kawasan Kuala Perlis bergerak dengan kelajuan kira-kira 25 hingga 30 km sejam dan di Arau dengan kelajuan 15 hingga 20 km sejam berdasarkan jadual-jadual yang dikeluarkan.

“Perlis dijangka menerima tempias ribut Pabuk pada sebelah petang sehingga 6 petang ini dengan kelajuan angin yang meningkat berdasarkan laporan daripada Jabatan Meteorologi Malaysia,” katanya.

Ishak menasihati orang ramai agar menjauhi kawasan pantai, kawasan bangunan yang tidak kukuh dan kawasan lapang bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya menghentikan aktiviti di laut buat masa ini sehingga ribut berkenaan berakhir.

APM juga telah bersedia dengan kekuatan 200 anggota untuk dikerahkan ke kawasan yang diperlukan sekiranya ribut melanda.

Artikel Berkaitan:

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pada masa ini, ribut Tropika Pabuk berada di Teluk Siam dan dijangka merentasi Segenting Kra.

Sementara itu, angin kencang berkelajuan 40-50 km sejam dengan ombak setinggi sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Phuket dan Selat Melaka Utara hingga Sabtu ini.

Keadaan itu turut melanda kawasan perairan Perlis, Kedah dan Pulau Pinang dalam tempoh yang sama. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!