Seludup migran guna laluan haram

Salah sebuah kereta yang dirampas polis kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan haram tersebut.
Salah sebuah kereta yang dirampas polis kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan haram tersebut.
A
A
A

KOTA TINGGI - Lima warga Indonesia ditahan di Felda Gugusan Adela di sini kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan migran dan menggunakan laluan haram untuk memasuki negara Khamis lalu.

Ketua Polis Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, tangkapan dilakukan kira-kira jam 10 malam itu hasil daripada risikan dan siasatan berhubung kegiatan penyeludupan warga asing di daerah ini.

“Seramai lima warganegara Indonesia terdiri daripada empat lelaki dan seorang perempuan berjaya ditahan.

"Hasil siasatan kemudiannya mendapati dua lelaki warga Indonesia yang ditahan ini juga dipercayai bertindak sebagai ‘transporter’ untuk mengambil dan menghantar imigran ke negara ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahsmon berkata, menerusi tangkapan itu polis juga turut bertindak merampas dua buah kereta, tujuh buah telefon bimbit pelbagai jenama dan wang tunai bernilai RM480.

"Siasatan masih diteruskan. Buat masa ini kita percaya tiga lagi warga Indonesia yang ditahan itu dalam perjalanan untuk balik ke negara asal selain tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Kota Tinggi untuk siasatan mengikut Seksyen 26A Atipsom 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!