[VIDEO] UMK kaji keinginan wanita Kelantan dalam perniagaan
KOTA BHARU - [DIKEMASKINI] Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menjalankan kajian bagi mengenalpasti tahap keinginan wanita negeri ini untuk memajukan diri dalam bidang perniagaan yang diceburi ke peringkat antarabangsa.
Pengarah Kanan, Institut Keusahawanan UMK, Prof Dr Nik Maheran Nik Muhammad berkata, kajian bermula April lalu dilakukan susulan pemerhatian dan hasil kajian terdahulu yang mendapati ada golongan wanita Kelantan lebih selesa berniaga hanya untuk pembangunan diri sendiri.
Menurutnya, peniaga atau usahawan wanita di negeri ini mempunyai potensi besar untuk memajukan diri dan melebarkan sayap perniagaan mereka ke luar negara namun berdepan dengan pelbagai cabaran hingga menghadkan perkara itu.
“Mereka ada potensi untuk lebih maju dalam bidang perniagaan dan keusahawanan yang dilakukan tetapi masih ramai yang tidak tahu cara dan tidak sedar akan adanya peluang-peluang yang disediakan pihak kerajaan dan sebagainya untuk tujuan itu.
“Itu antara kekangan yang dihadapi wanita yang sebenarnya bekeinginan untuk maju dalam kerjaya masing-masing dan sedang dikaji pihak universiti serta akan diketahui hasilnya tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Perasmian Seminar Memperkasakan Ekonomi Wanita di Dewan Keusahawanan UMK Kampus Kota di Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Seminar anjuran UMK itu dirasmikan oleh Tengku Puan Temenggong Kelantan, Puan Sri Tunku Noor Hayati Tunku Abdul Rahman.
Nik Maheran berkata, golongan wanita bekerjaya amat unik kerana kebijaksanaan mereka berdepan cabaran hebat dan pada masa sama mengimbangi peranan sebagai isteri serta ibu yang perlu memberi penumpuan utama kepada suami dan anak-anak.
“Mengikut kajian terdahulu daripada Institut Keusahawanan UMK pada 2012/2013 di Kelantan ada tiga kumpulan peniaga iaitu pertama hanya berniaga untuk keperluan kehidupan sahaja.
“Kedua, mereka berniaga sehingga boleh melancong dan diwarisi tiga generasi dan ketiga golongan peniaga yang ada kedai di Kota Bharu serta ada kedai di Kuala Lumpur dan berhasrat mahu kembang perniagaan hingga ke luar negara,” katanya.
Beliau berkata, melalui seminar seumpama itu juga dapat menyediakan platform kepada wanita yang bergelar usahawan di negeri ini untuk lebih memperkembangkan perniagaan mereka sehingga ke luar negara.
“Boleh ambil contoh seperti selebriti terkenal Neelofa yang juga ahli perniagaan berasal dari Kelantan, beliau berjaya membawa perniagaan tudung sehingga ke luar negara.
“Jadi perkara sama yang kita mahu daripada wanita Kelantan kerana jati diri dan jiwa keusahawanan itu sudah sebati sejak zaman dulu dan perlu diperkembangkan lagi ke peringkat lebih tinggi sekali gus dapat menyumbang kepada ekonomi negara dan anak bangsa,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!