Kerajaan Johor jelaskan bantuan diluluskan sebelum kempen PRK

Salahuddin (tiga dari kiri), Jimmy (empat dari kiri) menyerahkan surat bantuan rumah kepada Abdul Rahman (dua dari kanan) di Kampung Serkat Laut, Pontian semalam.
Salahuddin (tiga dari kiri), Jimmy (empat dari kiri) menyerahkan surat bantuan rumah kepada Abdul Rahman (dua dari kanan) di Kampung Serkat Laut, Pontian semalam.
A
A
A

PONTIAN - Kerajaan Negeri menafikan dakwaan bantuan rumah yang diberikan kepada mangsa kebakaran di Kampung Serkat Laut di sini disebabkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Exco Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, sebaliknya bantuan diterima oleh Abdul Rahman Atan, 49, itu telah diluluskan lebih awal oleh Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) sebelum ini iaitu pada 4 Ogos lalu.

"Bantuan rumah yang diterima sebanyak RM65,000. Pihak kami gembira dapat bantu Abdul Rahman yang mempunyai enam orang anak termasuk anak keduanya yang bisu dan pekak.

"Usaha membantu Abdul Rahman sudah dimulakan oleh Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik yang merupakan Ahli Parlimen Tanjung Piai ketika itu. Oleh itu hari ini kita teruskan usaha beliau," katanya.

Beliau sebelum itu bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub menyampaikan bantuan kepada Abdul Rahman Atan di Serkat Laut, Kukup.

Jimmy Puah berkata, MAIJ memperuntukkan kira-kira RM750,000 pada tahun ini bagi membina 12 unit rumah di seluruh Johor yang dilanda bencana.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, dia amat bersyukur dengan bantuan yang diterima itu kerana dapat meringankan bebannya untuk membina rumah baharu.

Katanya, selepas rumahnya terbakar dua tahun lalu, dia menangguhkan pembinaan rumah baharu kerana wang perlu digunakan terlebih dahulu untuk menanggung enam orang anaknya yang masih bersekolah.

Artikel Berkaitan:

"Syukur atas bantuan yang diberikan. Pendapatan bekerja sebagai penyelia di sebuah pusat peranginan di Kukup sekadar mencukupi.

"Tragedi kebakaran yang berlaku dua tahun lalu telah memusnahkan keseluruhan rumah memaksa kami menumpang di rumah saudara sehingga hari ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!