Interceptor 002 mula beroperasi di Sungai Klang

Amirudin (tiga dari kiri) dan Boyan (dua dari kanan) pada program penerangan media The Ocean Cleanup di lobi Dewan Negeri Selangor hari ini.
Amirudin (tiga dari kiri) dan Boyan (dua dari kanan) pada program penerangan media The Ocean Cleanup di lobi Dewan Negeri Selangor hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Jentera yang digunakan untuk kutipan sampah dalam sungai atau Interceptor 002 mula beroperasi di Sungai Klang sejak Ogos lalu.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, jentera di bawah kendalian The Ocean Cleanup itu adalah teknologi dari Netherland yang digunakan untuk pembersihan sungai di bawah Gerbang Maritim Selangor (SMG).

Menurutnya, Sungai Klang dipilih sebagai lokasi projek pembersihan sungai oleh syarikat tersebut tanpa sebarang kos dikeluarkan oleh kerajaan negeri.

"Anggaran peruntukan pengendalian sebuah jentera itu antara 600 hingga 700 Euro yang ditanggung oleh The Ocean Cleanup atas dasar tanggungjawab memelihara kehidupan sungai.

"Selepas tempoh tersebut, kerajaan negeri akan membuat penelitian semula sama ada meneruskan kerjasama tersebut atau sebaliknya," katanya pada program penerangan media The Ocean Cleanup di lobi Dewan Negeri Selangor hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif The Ocean Cleanup, Boyan Slat; Duta Netherlands, Aart Jacobi; Pengerusi Lembaga Pengarah SMG, Raja Shahreen Raja Othman dan Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd, Syaiful Azmen Nordin.

Boyan berkata, Sungai Klang dipilih berdasarkan faktor lokasi dan keluasan sungai yang sesuai untuk operasi Interceptor 002.

"Projek ini dilaksanakan bukan mengejar keuntungan sebaliknya atas dasar tanggungjawab membantu mengurangkan sebanyak mungkin pencemaran plastik di sungai di seluruh dunia.

Artikel Berkaitan:

"Usahasama ini dapat dilaksanakan dengan baik atas sokongan daripada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan atas usaha atasi isu pembersihan Sungai Klang yang dilaksanakan secara berterusan sejak 2016," katanya.

Katanya, jentera yang berfungsi seperti penyedut habuk ini mampu beroperasi selama 24 jam menggunakan sumber bateri.

"Sampah terkumpul ini akan diasingkan sebelum dimasukkan ke tong roro untuk dibuang ke tapak pembuangan sampah atau ke pusat kitar semula dengan kerjasama KDEB Waste Management.

"Interceptor 002 mampu mengutip sehingga 100,000 kilogram sampah sehari dan bagi fasa pertama pembersihan Sungai Klang ini kita sasarkan jumlah kutipan adalah 10,000 kilogram sehari," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!