Iran sambut ulang tahun insiden tebusan dengan sentimen anti-AS

Rakyat Iran melaungkan slogan anti-AS ketika sambutan ulang tahun ke-40 insiden tebusan pada tahun 1979 di luar bangunan bekas kedutaan AS di Teheran hari ini. - FOTO AFP
Rakyat Iran melaungkan slogan anti-AS ketika sambutan ulang tahun ke-40 insiden tebusan pada tahun 1979 di luar bangunan bekas kedutaan AS di Teheran hari ini. - FOTO AFP
A
A
A

TEHERAN - Ribuan rakyat Iran dilaporkan berhimpun di luar bangunan bekas kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Teheran hari ini sempena ulang tahun ke-40 insiden tebusan Iran.

Peserta himpunan yang membawa patung Presiden Donald Trump turut melaungkan slogan anti-AS, sementara laporan stesen televisyen tempatan menunjukkan himpunan turut diadakan di beberapa bandar lain termasuk Mashhad, Shiraz dan Esfahan.

Menurut wartawan AFP di lokasi, peserta himpunan turut membawa pelbagai plakad mengecam AS antaranya tertera tulisan 'Death to America'.

Pada 4 November 1979, kurang sembilan bulan selepas penggulingan pemerintah Iran ketika itu, juga dikenali sebagai Mohammad Reza Shah yang disokong AS, sekumpulan pelajar revolusioner Iran menawan kompleks kedutaan AS di Teheran.

Tindakan tersebut dilakukan bagi mendesak AS menyerahkan pemimpin berkenaan yang dimasukkan ke sebuah hospital di AS bagi mendapatkan rawatan kanser.

Beliau dilaporkan dikehendaki bagi menghadapi perbicaraan berhubung jenayah yang didakwa dilakukannya ketika memegang tampuk pemerintahan.

Insiden tebusan yang berlangsung selama 444 hari itu akhirnya tamat pada 20 Januari 1981 dengan pembebasan 52 warga AS.- AFP

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!