Kajian Akta Pencemaran Alam Sekitar Merentas Sempadan siap Januari

Yeo Bee Yin
Yeo Bee Yin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kajian mengenai keperluan penggubalan Akta Pencemaran Alam Sekitar Merentas Sempadan dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan dan dijangka selesai pada Januari 2020.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin berkata, kajian itu akan dilaksanakan jawatankuasa khas diterajui pakar perundangan dan alam sekitar.

“MESTECC telah mengadakan mesyuarat dan konsultasi bersama pakar-pakar perundangan dan alam sekitar dari Jabatan Peguam Negara dan beberapa buah universiti tempatan bagi membincangkan keperluan penggubalan Akta Pencemaran Alam Sekitar Merentas Sempadan tetapi tidak dihadkan (kepada) jerebu.

“Berdasarkan konsultasi tersebut satu kajian akan dilaksanakan terlebih dahulu bagi meneliti implikasi akta ini dan menetapkan hala tuju pelaksanaannya bagi memastikan akta yang bakal digubal dapat memenuhi keperluan semasa,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Bee Yin, selepas kajian tersebut selesai kertas pertimbangan akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri bagi diluluskan sebelum draf RUU Pencemaran Alam Sekitar Merentas Sempadan disiapkan.

Sementara itu Bee Yin berkata, peruntukan sebanyak RM3 juta bagi mempertingkat penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta keupayaan teknologi dan pembangunan kaedah yang efektif, disediakan untuk mencegah atau memadam kebakaran di kawasan tanah gambut.

Beliau menyifatkan kaedah yang digunakan Malaysia bagi mencegah dan memadam kebakaran tanah gambut ketika ini adalah konvensional dan berteknologi lama.

“Tiada banyak inovasi dalam bidang ini. Kami berharap dengan R&D dana permulaan daripada MESTECC dan dorongan Malaysia untuk kerjasama R&D peringkat antarabangsa, kaedah yang lebih efektif, murah dan berskala dapat dicari secepat mungkin.

Artikel Berkaitan:

“​​​​​​​Kementerian juga dalam proses mengenal pasti sumber-sumber kewangan dan institusi antarabangsa yang sudi menghulurkan dana bagi tujuan R&D tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan lain katanya MESTECC meluluskan kuota sebanyak 50 megawatt (MW) untuk program ‘Net Energy Metering’ (NEM) di Sabah bermula 1 Jan 2020 dengan jumlah perbelanjaan tambahan kepada kerajaan sebanyak RM13 juta bagi tempoh 10 tahun.

Menurutnya, peruntukan itu akan dibiayai oleh Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (AAIBE).

Program NEM adalah sistem fotovoltaik (PV) solar yang merupakan inisiatif MESTECC untuk menggalakkan penggunaan tenaga diperbaharui di Malaysia. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!