Ibu, anak perempuan maut dalam nahas

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang ibu dan anak perempuannya meninggal dunia selepas kereta yang dinaiki bertembung dengan sebuah lori, di hadapan kedai makan di Padang Lalang di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, dalam kejadian jam 9.25 pagi itu, Shuida Shaari, 55, dan anaknya, Anisah Shafiqah Habiballah, 28, yang menaiki kereta jenis Perodua Viva meninggal dunia di hospital.

"Kejadian berlaku apabila anak mangsa yang memandu kereta itu membuat pusingan U secara tiba-tiba dan telah masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori yang dipandu lelaki berusia 45 tahun, yang datang dari arah Kuala Sungai menuju ke Alor Janggus.

"Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk rawatan lanjut. Anak mangsa telah disahkan meninggal dunia pada pukul 10.20 pagi manakala mangsa meninggal dunia pada pukul 2.45 petang," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Katanya, pemandu lori yang berasal dari Kuala Perlis, Perlis itu hanya mengalami luka di bahagian tangan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!