Ifwat minta pelepasan atas alasan peribadi: Cheng Hoe
TEKA-TEKI berhubung status penjaga gol Kedah, Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim yang digugurkan daripada skuad Harimau Malaya akhirnya terjawab.
Menurut pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, Ifwat telah meminta pelepasan bagi tugasan antarabangsa kali ini atas alasan urusan peribadi.
“Sekiranya pemain ada masalah atau urusan peribadi, kita perlu hormat keputusan itu. Sebagai jurulatih, saya hormat keputusan itu,” katanya kepada pemberita semasa sesi latihan Harimau Malaya di Padang Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini.
Mengulas prestasi Ifwat ketika Kedah tewas 0-3 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu lalu, Cheng Hoe berkata, penjaga gol berusia 23 tahun itu telah memberikan aksi terbaik sepanjang perlawanan.
“Saya tidak boleh 100 peratus menyalahkan Ifwat kerana bola sepak bukan melibatkan seorang pemain. Kita perlu tengok secara keseluruhan.
“Namun, ini bukan bermaksud saya katakan Kedah sebagai pasukan yang tidak bagus, jangan salah faham. Ifwat bermain dengan baik sama ada di Kedah ataupun ketika bersama pasukan kebangsaan,” ujar bekas pengendali Kedah itu.
Ketiadaan Ifwat menyaksikan Cheng Hoe membuat keputusan menyenaraikan penjaga gol muda JDT II, Muhammad Haziq Nadzli.
“Pemilihan Haziq adalah yang terbaik. Dia bermain dengan baik dan konsisten bersama kelab (JDT II). Ini juga pendedahan awal terbaik untuknya sebelum Sukan SEA nanti.
“Ia sedikit sebanyak memberi keyakinan kepada dia sebab bukan mudah bermain dalam pasukan senior kerana tahap yang berlainan. Haziq perlu kerja keras untuk mencari rentak,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!