ASEAN perkumpulan serantau yang stabil, berjaya: Tun M
BANGKOK - Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) telah berkembang dengan pesat selama ini untuk menjadi sebuah perkumpulan serantau yang cukup stabil di dunia hari ini, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
“ASEAN hari ini adalah sebuah perkumpulan serantau yang paling stabil dalam dunia, berbanding EU (Kesatuan Eropah), mereka sedang menghadapi masalah,” katanya yang berada di sini bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-35, hari ini.
Beliau berkata, kejayaan pertubuhan itu dapat dilihat dengan jelas berdasarkan kepada keinginan banyak lagi negara lain untuk menyertai perkumpulan itu, di samping berjaya meluaskan lagi bidang kerjasama dalam kalangan negara-negara anggota.
“Secara keseluruhan, kita telah melakukan yang terbaik. ASEAN berkembang pesat dengan lebih banyak bidang kerjasama ketika ini. Ramai yang berminat untuk menyertai kita...seperti Timor Leste, mereka berminat untuk menyertai kita, saya rasa kita perlu menerima mereka, namun ada beberapa anggota masih tidak selesa,” katanya dalam satu persidangan media bersama media Malaysia di sini.
ASEAN ditubuhkan pada tahun 1967 dengan hanya lima negara pengasas yang terdiri daripada Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura serta Thailand, dan kini dengan 10 negara anggota, ia berjaya menjalin kerjasama dan perkongsian erat dengan enam negara di rantau Asia Pasifik, yakni China, Jepun, Korea Selatan, India, Australia dan New Zealand, sehingga dikenali sebagai ASEAN +6.
Dr Mahathir berkata, perkumpulan serantau itu juga sedang meraih hasil daripada wawasan serta kerjasama erat mereka termasuk diiktiraf sebagai komuniti Asia Timur, dan beliau menambah kini Perundingan Ekonomi Asia Timur (EAEC) juga sudah menjadi realiti.
“Orang ramai kini merujuk ASEAN +3 (China, Jepun dan Korea Selatan) sebagai komuniti Asia Timur. Jadi kami (ASEAN) akhirnya berjaya diiktiraf sebagai komuniti Asia Timur,” katanya.
Idea penubuhan zon perdagangan bebas serantau EAEC bagi ASEAN +3 dicetuskan oleh Dr Mahathir pada tahun 1997 sebagai reaksi kepada integrasi ke dalam Kerjasa Ekonomi Asia Pasifik (APEC).
Dr Mahathir, 94, kembali sebagai Perdana Menteri selepas memimpin Pakatan Harapan untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 pada bulan Mei tahun lepas dan kali pertama beliau menerajui negara sebagai Perdana Menteri adalah selama 22 tahun sebelum beliau bersara pada Oktober 2003.
“Kali ini, saya menghadiri sidang kemuncak ini buat kali kedua sejak tahun lepas. Sidang Kemuncak ASEAN kini mempunyai ramai pemimpin-pemimpin baharu. Disebabkan demokrasi, rakyat boleh menukar pemimpin. Bukan seperti sebelum ini di mana pemimpin yang hadir seringkali orang yang sama,” katanya.
Beliau seterusnya menggambarkan sidang kemuncak ini berserta persidangan yang berkaitan dengan tema Memperkukuh Kerjasama bagi Kelestarian; sebagai satu kejayaan dan menambah pada dasarnya semua mesyuarat berjalan dengan lancar.
Sidang Kemuncak yang berlangsung di Pusat Pameran IMPACT Convention and Exhibition di sini berakhir hari ini.
Sidang Kemuncak ASEAN tahun depan akan diadakan di Vietnam. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!