Tiga anak istimewa terima kunjungan Sultan Kelantan
TUMPAT - Bapa kepada tiga beradik penghidap cerebral palsy, Mohd Zain Abdullah, 56, menyifatkan kunjungan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V ke kediamannya di Kampung Kok Keli di sini petang tadi sesuatu yang amat istimewa.
Mohd Zain berkata, beliau tidak pernah menjangkakan ujian yang dialaminya turut menjadi perhatian pihak Istana Kelantan.
"Saya amat terkejut apabila semalam dihubungi pihak Istana bahawa Tuanku ingin berkunjung ke rumah bagi menziarahi ketiga-tiga anak istimewa saya. Namun pada masa yang sama rasa amat teruja bila dapat bertemu mata sendiri dengan Tuanku yang melayan kami dengan amat mesra," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ketibaan baginda di kediaman Mohd Zain Abdullah, 56, pada jam 5.20 petang dan meluangkan masa kira-kira setengah jam bertanya khabar keluarga terbabit.
Baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan peribadinya kepada keluarga tersebut selain sumbangan wang tunai daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
Turut berangkat Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz bersama isteri, Puan Sri Tengku Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Kisah tiga anaknya iaitu Khairul Nisaa, 25, Muhammad Amir, 18, dan Ain Husna, 17, mula mendapat perhatian sejak kematian isterinya Nooraini Ismail dua tahun lepas dan tersebar luas selepas ditularkan sejak beberapa bulan lalu.
Sejak kematian isteri, Mohd Zain yang bekerja sebagai tukang rumah memikul tugas menguruskan tiga anak istimewanya termasuk memandikan dan memberi makan kepada mereka.
Dalam pada itu Mohd Zain berkata, beliau amat berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang prihatin dengan nasibnya dan semua yang menghulurkan sumbangan.
"Saya tidak pasti siapa yang mula-mula viralkan kisah kehidupan kami sekeluarga. Apapun saya ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada beliau, kerana sejak diviralkan ramai yang tampil membantu sekali gus meringankan beban kami sekeluarga," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!