Pewaris Muda tingkat jati diri, rasa cintakan negara
ALOR GAJAH - Seramai 101 mahasiswa menyertai Program Pewaris Muda Peringkat Kebangsaan 2019 di Felda Tun Ghafar, Hutan Percha di sini selama empat hari yang melibatkan sebanyak 37 keluarga angkat.
Exco Komunikasi, Multimedia, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan Melaka, Kerk Chee Yee berkata, peluang itu seharusnya digunakan sebaiknya untuk menimba ilmu dan pengalaman.
“Ini kerana Melaka kaya dengan sejarah dan kepelbagaian budaya serta adat resam. Pada masa sama jagalah tingkah laku dan budi bahasa dan saling menghormati, selain tolong-menolong sepanjang berada di sini.
“Alihkan seketika dunia maya dan media sosial. Kembali kepada kepelbagaian budaya bangsa dan adat resam kerana sejauh mana pun kemajuan dicapai, tunjang ini wajar terus dipelihara,” katanya ketika membacakan teks ucapan Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari pada majlis perasmian program itu di sini pada Jumaat lalu.
Hadir sama, Exco Wanita, Kebajikan dan Pembangunan Luar Bandar Melaka, Datuk Ginie Lim Siew Lin; Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Shakib Ahmad Shakir; Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital) Jabatan Penerangan, Datuk Mohd Sukari Ab Hamid dan Pengarah Jabatan Penerangan Melaka, Mohd Rizal Hashim.
Chee Yee berkata, peserta program itu merupakan pemimpin masa hadapan iaitu aset negara yang paling bernilai.
Justeru katanya, mereka perlu menguatkan jati diri kerana walaupun memiliki kelulusan sama ada ijazah, diploma atau sijil, semua peserta juga seharusnya memiliki keperibadian dan nilai tinggi.
Sementara itu, beliau berharap pengalaman sepanjang mengikuti program berkenaan dapat diadaptasi dalam kehidupan seharian, sekali gus menambah jati diri dan semangat cintakan negara.
“Jalinan yang wujud melalui program ini wajar diteruskan walaupun program telah berakhir dan saling berhubung dengan keluarga angkat.
“Kongsikan juga pengalaman menarik mengenai negeri Melaka kepada rakan sebaya di media sosial agar lebih ramai pengunjung teruja melawat Melaka,” katanya.
Pewaris Muda yang merupakan program tahunan anjuran Jabatan Penerangan telah memasuki edisi ketujuh tahun ini dan ia mula dilaksanakan di peringkat kebangsaan pada 2013 di Janda Baik, Pahang.
Selaras dengan tema ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’, objektif utama pelaksanaan program itu adalah untuk memupuk semangat patriotisme dan cintakan negara, perpaduan antara kaum serta memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan golongan muda.
Peserta dan keluarga angkat dilibatkan dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan, antaranya menoreh getah dan mengumpul buah kelapa sawit, gotong-royong, sukan rakyat dan juga riadah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!