'Teresa patut turun padang, jumpa pekebun sawit'

Gambar kiri: Mohd Shahar, gambar kanan: Teresa Kok
Gambar kiri: Mohd Shahar, gambar kanan: Teresa Kok
A
A
A

KUANTAN - Menteri Industri Utama, Teresa Kok dilihat masih dalam penafian apabila menyifatkan perhimpunan aman disertai peneroka Felda di pintu masuk Parlimen semalam sebagai perhimpunan 'tidak cerdik'.

Pengerusi Jawatankuasa Pembela Peneroka dan Pekebun Kecil Pemuda UMNO (Pembela), Mohd Shahar Abdullah berkata, perhimpunan aman itu diadakan bagi menyuarakan ketidakpuasan hati peneroka terhadap industri sawit.

Menurutnya, Teresa sepatutnya menyelami permasalahan dan kesempitan hidup dialami peneroka sehingga mereka sanggup turun ke perhimpunan aman itu demi menuntut hak, bukannya mengeluarkan kenyataan sedemikian.

"Pada pandangan mata kasar, mungkin harga sawit meningkat seperti mana diperkatakan beliau (Teresa) tetapi hakikatnya, dengan kos sara hidup yang kian meningkat serta kos-kos lain yang terpaksa ditanggung peneroka, mereka kini hidup dalam keadaan yang sangat tersepit.

"Ia diburukkan lagi dengan inisiatif-inisiatif seperti penanaman semula sawit dan bantuan untuk pekebun kecil yang dihapuskan.

"Mereka seolah-olah tiada talian hayat untuk meneruskan kehidupan," katanya melalui satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN Demonstrasi di luar Parlimen desak selesai isu sawit

Mohd Shahar yang juga Ahli Parlimen Paya Besar berkata, sebagai menteri, Teresa tidak boleh hanya sekadar melihat data dan statistik serta menjangkakan kenaikan harga sawit yang sedikit itu dapat menenangkan hati peneroka.

"Beliau sebaliknya perlu lebih menyelami permasalahan peneroka dan mencari jalan terbaik untuk mengatasinya bukan dengan mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya hingga boleh menggores hati golongan tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Teresa sebelum ini menyifatkan Ahli Parlimen pembangkang yang membawa kumpulan pekebun kecil dan peneroka Felda berdemonstrasi di hadapan masuk Parlimen itu sebagai ‘kurang cerdik’.

Beliau malah pelik dengan protes aman menuntut pembelaan kepada peneroka dan pekebun kecil sawit itu kerana harga sawit ketika ini sudah meningkat.

Terdahulu, lebih 100 peneroka dan pekebun kecil mengadakan demonstrasi di pintu masuk Parlimen, semalam sebelum menyerahkan memorandum kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Demonstrasi dianjurkan Pembela, Pertubuhan Kebajikan Warga Felda Malaysia dan Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan itu bagi mendesak Kementerian Industri Utama memaklumkan pelan strategik pengukuhan harga sawit, pasaran dan eksport harga sawit.

Mereka juga meminta kerajaan menyatakan langkah segera yang diambil dalam menguruskan krisis sekiranya India mengambil langkah mengurangkan atau memberhentikan import sawit dari Malaysia, selain meminta peruntukan khusus bagi membantu meringankan beban ditanggung susulan harga minyak sawit terus jatuh ke paras terendah.

ARTIKEL BERKAITAN Teresa Kok persoal motif protes sawit

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!