Nafas fokus projek menguntungkan ahli
JELI - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) memberikan fokus kepada projek yang membawa keuntungan terhadap ahli-ahlinya di peringkat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di seluruh Malaysia.
Ahli Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Abdul Aziz Derashid berkata, sebelum ini Nafas lebih tertumpu kepada industri konservatif seperti mewujudkan kilang padi tetapi untuk tahun ke hadapan, pihaknya melihat skop yang lebih besar untuk dimanfaatkan secara bersama.
Menurutnya, salah satu bentuk projek yang dilihat berpotensi dikembangkan di seluruh Malaysia adalah mengusahakan sarang burung walit dan pertanian jangka pendek termasuk mengkomersialkan produk keluaran ahli sendiri.
“Sekarang ini di seluruh Malaysia termasuk Kelantan, saya melihat ahli boleh terlibat dalam pertanian jangka pendek seperti penanaman lada, jagung dan tembikai untuk mendapat keuntungan jangka masa singkat.
“Contohnya di Kelantan, terdapat banyak tanah terbiar boleh dimanfaatkan untuk penanaman yang boleh dituai dengan cepat. Nafas juga sentiasa membantu peladang ke arah itu,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Terdahulu, beliau yang juga Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Kelantan merasmikan program Kasih Peladang Kelantan di PPK Lembah Pergau Kuala Balah.
Pada program tersebut, seramai 250 penerima asnaf peladang dari PPK Lembah Pergau, Stong dan Jeli menerima zakat berjumlah RM200 setiap seorang dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM50,000.
Hadir sama, Ahli Jemaah Pengarah Nafas, Ishak Taib; Pengarah Pembangunan Peladang Nafas, Abu Sujak Sahuji dan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPK Stong, Abdul Rashid Muhamad.
Dalam pada itu, Abdul Aziz juga berharap kerajaan negeri dan kerajaan Pusat meneruskan kecaknaan terhadap semua ahli PPK di seluruh negara yang berjumlah lebih 900,000 orang.
“Nafas juga akan berusaha meremajakan sektor pertanian di Malaysia kerana kerja di ladang hari ini lebih dikuasai golongan berusia. Nafas akan cuba untuk menarik minat golongan belia untuk menyertai pertanian.
“Sebenarnya pertanian ini memberikan pendapatan yang lebih tinggi berbanding memilih merantau bekerja di luar negeri dengan gaji hanya sekitar RM2,000 ke bawah,” katanya.
Sementara itu, seorang penerima, Mariam Yaakob, 68, yang merupakan ibu tunggal bersyukur dengan pemberian zakat Nafas kerana dapat membantu menampung perbelanjaan keluarganya.
“Saya usahakan getah lebih 20 tahun lalu. Terima kasih Nafas beri rezeki untuk kami. Duit ini boleh bantu saya membeli barang dapur untuk persediaan musim banjir,” katanya.
Seorang lagi penerima, Rospi Dollah, 47, yang lebih 10 tahun mengusahakan tanaman jagung di Kampung Bendang, Kampung Lamai menyifatkan pemberian zakat itu sebagai kecaknaan Nafas terhadap peladang di Jeli.
“Alhamdulillah sebelum ini dapat sebanyak RM100 tapi hari ini sudah bertambah kepada RM200 seorang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!