Projek tambak laut tidak dilaksana selagi syarat gagal dipenuhi
GEORGETOWN - Projek Tambakan Laut Pulau Pinang Selatan (PSR) tidak akan dilaksanakan selagi kerajaan negeri tidak memenuhi 72 syarat yang ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan 18 nasihat oleh Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN).
Perkara itu diulang Ketua Menteri, Chow Kon Yeow ketika menjawab soalan lisan tambahan Ketua Pembangkang, Datuk Muhamad Yusoff Mohd Noor (BN- Sungai Dua) berhubung ruang yang ada untuk kerajaan negeri mempertimbangkan projek mega tersebut.
Menurutnya, menerusi aku janji yang dilakukan, kerajaan negeri perlu memenuhi kesemua nasihat dan syarat itu sebelum memulakan projek bernilai RM11 bilion itu.
"Menerusi aku janji tersebut, tidak ada apa-apa pelaksanaan yang boleh dilakukan sekiranya semua syarat dan nasihat tidak dipenuhi. Projek hanya boleh bermula selepas semua kelulusan diperoleh.
"Ruang yang sedia ada bagi kerajaan negeri adalah untuk memenuhi syarat-syarat yang dikenakan itu. Selagi tidak penuhi, kerja tidak boleh buat," katanya di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pagi tadi.
Kon Yeow (DAP- Padang Kota) berkata, pihak terlibat antaranya badan bukan kerajaan (NGO) dan JAS boleh memantau kemajuan syarat yang telah dilaksanakan kerajaan negeri.
"JAS bertanggungjawab dalam membuat pemantauan pematuhan syarat yang dilaksanakan kerajaan negeri. Cadangan untuk mengetahui sarat-syarat ini dipenuhi, kerajaan negeri boleh membuat senarai kemajuan syarat yang telah dilaksanakan dari masa ke semasa.
"Senarai kemajuan itu akan didedahkan agar orang awam dapat mengetahui kemajuan pematuhan syarat-syarat tersebut. Tindakan ini sama seperti kerajaan negeri lakukan dalam manifesto PRU 14 lalu yang mana, rakyat boleh mengetahui janji yang sudah ditunaikan," katanya.
Beliau berkata, bagi mendapat gambaran menyeluruh tentang sesebuah projek, kerajaan negeri perlu melihat dari pelbagai aspek.
"Setiap projek akan mempunyai kesan positif dan negatif, sama seperti PSR. Antara kebaikannya adalah bakal menjana pembangunan ekonomi 50 tahun akan datang dan sebagai kesinambungan pembangunan industri.Dari segi keburukan, ekologi dan kehidupan nelayan terlibat akan terjejas.
"Bagaimanapun, dalam syarat yang diberikan, kerajaan negeri perlu melaksanakan langkah mitigasi bagi menangani kesan ke atas komuniti nelayan dengan mewujudkan 'task force' nelayan dan menyediakan 'exit plan' serta Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) yang telah dilaksanakan sejak 2016 lagi," katanya.
4 Jun lalu, JAS memberi 72 syarat menerusi surat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi pembinaan PSR.
Antara syarat tersebut adalah kajian teknikal terperinci dan mendapatkan ulasan dari Jabatan Teknikal sebelum dilaksanakan serta langkah mitigasi mengikut nasihat teknikal daripada jabatan berkaitan terutamanya Jabatan Perikanan Malaysia bagi menangani impak projek ke atas sumber perikanan dan komuniti nelayan.
Sementara itu, April lalu, MPFN bersetuju dengan cadangan kerajaan negeri untuk melaksanakan PSR yang disusuli dengan 18 syarat.
Laporan EIA bagi projek PSR dihantar kepada JAS pada pertengahan Jun lalu, selepas ia dibentangkan kepada awam selama sebulan bermula April.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!