Sarawak sedia pertimbang ambil alih Pelabuhan Bintulu

Julaihi
Julaihi
A
A
A

KUCHING - Kerajaan Negeri Sarawak sedia pertimbang untuk mengambil alih Pelabuhan Bintulu, yang kini adalah entiti kerajaan Persekutuan, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak diberitahu hari ini.

Menteri Muda Pembangunan Pelabuhan dan Infrastruktur, Datuk Julaihi Narawi berkata, kerajaan negeri memandang berat peranan penting sektor pelabuhan dalam menggerakkan ekonomi negeri.

“Untuk tujuan ini, Sarawak melalui Kementerian Pelabuhan dan Infrastruktur sedang mengkaji bagaimana cara terbaik untuk pastikan pengurusan pelabuhan dapat diperkukuhkan sesuai dengan perkembangan semasa, termasuk hak Sarawak ke atas Pelabuhan Bintulu.

"Setelah selesai, Sarawak akan ambil langkah-langkah difikir perlu dalam pengambilalihan entiti Persekutuan termasuk Pelabuhan Bintulu ini. Kita akan adakan perbincangan dengan pihak-pihak berkepentingan,” katanya dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawapan-Jawapan Lisan di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Ir Aidel Lariwoo (GPS-Sadong Jaya) yang ingin mengetahui rancangan kerajaan negeri untuk mengambil alih sepenuhnya Pelabuhan Bintulu daripada kerajaan Persekutuan.

Mengulas lanjut katanya, tanah di pelabuhan berkenaan didirikan sekarang adalah hak milik kerajaan Sarawak yang dipajak selama 99 tahun bermula 5 Mac 1983 dengan nilai pajakan RM1.5 juta setahun.

“Maknanya tanah itu setelah tamat tempoh pajakan adalah masih menjadi milik Kerajaan Negeri Sarawak,” katanya.

Julaihi berkata, kerajaan negeri kini memiliki 39.72 peratus daripada saham syarikat senaraian awam berkenaan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!