Mahu jual syiling lama RM5,000 tapi rugi RM7,000

Mohd Wazir
Mohd Wazir
A
A
A

KUANTAN - Seorang suri rumah kerugian lebih RM7,000 selepas terpedaya dengan tawaran jual beli syiling lama yang diiklankan melalui laman sosial Instagram, kelmarin.

Mangsa berusia 36 tahun melayari laman sosial itu 25 Oktober lalu dan tertarik dengan iklan pencarian duit syiling lama dari pemilik akaun Mr Kaypaul yang menawarkan harga tinggi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang memiliki syiling lama berminat menjualnya lalu berurusan dengan individu dipercayai pemilik akaun Instragram dari luar negara dan hasil perbincangan melalui WhatsApp, kedua-duanya bersetuju dengan jual beli tersebut dengan harga RM5,000.

“Kira-kira jam 1.26 petang hari sama, suspek menghubungi mangsa memaklumkan dia telah memasukkan wang RM5,000 ke dalam akaun pengadu.

“Bagaimanapun, suspek meminta mangsa menjelaskan sejumlah bayaran dengan alasan pihak bank mengenakan bayaran terhadap wang yang dimasukkan ke dalam akaunnya,” katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa akur apabila membuat bayaran melalui 20 transaksi dengan jumlah keseluruhan RM7,500 ke atas empat akaun atas nama individu berbeza.

Bagaimanapun, mangsa syak ditipu selepas mendapati wang RM5,000 yang dijanjikan tiada dalam akaun banknya dan bertindak membuat laporan di balai polis di Temerloh untuk tindakan lanjut.

“Kita juga turut mengesan empat pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes ini termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan,” katanya memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 420 kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!