SPM: Johor siap sedia hadapi kemungkinan banjir
KULAI - Kerajaan Johor bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan banjir berikutan musim hujan sepanjang waktu peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Aminolhuda Hassan berkata, Jawatankuasa Gerakan Payung yang ditubuhkan oleh Jabatan Pendidikan negeri juga telah mengenal pasti kawasan sekolah ‘hotspot’.
Menurutnya, kesemua mereka yang terlibat dalam jawatankuasa itu termasuk pegawai pendidikan telah dilatih untuk menghadapi sebarang kemungkinan dan bertindak dengan segera.
“Kita bukan sahaja kenal pasti (daerah) tetapi kenal pasti seandainya berlaku (banjir), calon akan berpindah ke sekolah yang paling hampir.
“Kalau tidak ada, kita akan pindahkan mereka ke asrama berdekatan,” katanya dalam sidang media di Sekolah Menengah Kebangsaan Kulai Besar, di sini hari ini.
Aminolhuda berkata, calon juga tidak mempunyai masalah untuk mengambil peperiksaan di mana-mana sekolah dengan hanya membawa kad pengenalan diri sekiranya berlaku perkara tidak diingini.
Sejumlah 50,619 calon SPM di Johor bagi fasa dua menduduki peperiksaan pada hari ini di 360 pusat peperiksaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!