Mujahid dedah ada pihak menyamar jadi perunding sijil halal

MUJAHID. FOTO:ZAHID IZZANI
MUJAHID. FOTO:ZAHID IZZANI
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mendedahkan terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab menyamar menjadi perunding bagi mendapatkan sijil Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Beliau menegaskan, pihaknya tidak melantik mana-mana menjadi perunding bagi mendapatkan sijil halal.

Menurutnya, kegiatan pihak tidak bertanggungjawab itu terbongkar apabila pengadu membuat susulan kepada Jakim berhubung status permohonan mereka.

"Ada kes mereka kata telah mohon lebih setahun yang lalu melalui konsultan, tapi masih belum ada apa-apa.

"Saya tanya dia minta dengan siapa? Rupanya dengan konsultan. "Konsultan' hanya mahu buat duit saja," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perbincangan Meja Bulat Dan Kelas Induk Tentang Inklusi Halal anjuran Pusat Pengajian Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) dan Bank Pembangunan Islam.

Majlis itu dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Mujahid berkata, permohonan sijil Halal perlu dibuat menerusi dalam talian tanpa melibatkan mana-mana individu.

Artikel Berkaitan:

"Mereka yang ingin memohon, buat atas talian dan hantar kepada kami untuk diproses," katanya.

Pada 12 Oktober lalu, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim menafikan dakwaan pegawai jabatan itu meminta bayaran sebanyak RM50,000 bagi tujuan pendaftaran premis pemprosesan daging halal di ibu negara.

Sebelum ini satu artikel bertajuk 'Malaysia Halal Crisis' oleh Murray Hunter di laman sesawang Asia Sentinel bertarikh 10 Oktober lalu yang mendakwa berlakunya isu integriti dan kompetensi kakitangan Jakim dalam proses pensijilan halal Malaysia.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!