Selangor ambil langkah selesai isu tanaman padi
SHAH ALAM - Kerajaan Selangor cuba menyelesaikan isu pesawah di barat laut yang memperoleh pendapatan tidak menentu susulan daripada tanaman mereka berdepan masalah serangan penyakit dan kekurangan bekalan air.
Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, buat masa ini pihaknya melakukan tindakan dengan merawat tanah sawah yang gersang dan tidak subur sehingga menjejaskan pendapatan petani terlibat.
"Langkah ini dimulakan di sekitar Sabak Bernam dan akan diperluaskan ke lokasi lain pada tahun hadapan.
"Kita sedang bergerak aktif bagi memulakan pemulihan untuk membantu kesuburan tanah-tanah sawah yang tidak subur ini sebagai langkah untuk membantu petani yang terjejas," katanya pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) ke 14 hari ini.
Izham berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Ahmad Mustain Othman (Amanah-Sabak) berhubung cadangan kerajaan negeri bagi petani mendapatkan sumber pendapatan tambahan lain susulan perolehan pendapatan tidak menentu dihadapi pesawah dan pekebun kecil sawit.
Melalui skim pembangunan industri tanaman, Izham berkata, pelbagai program disediakan Jabatan Pertanian bagi meningkatkan pendapatan pesawah dan pekebun kecil antaranya menggalakkan mereka menceburkan diri dalam bidang usahawan industri asas tani.
"Ia meliputi pembuatan makanan, membuat tanaman selingan kontan dan ternakan kelulut, tanaman buah-buahan dan cendawan bagi mengurangkan pergantungan yang tinggi kepada tanaman sawit dan padi," katanya.
Dalam pada itu, Izham berkata, menerusi kajian dijalankan, pihaknya mendapati antara faktor lain menyebabkan hasil petani menurun berikutan ramai di antara mereka gagal mendapatkan persijilan Insentif Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGap).
Berdasarkan data diperoleh, Izham berkata, petani yang mengikuti proses MyGap mampu menjana pulangan hasil yang sangat tinggi mencecah 10 hingga 12 tan setiap hektar.
"Jadi kita akan galakkan lebih ramai petani untuk mendapatkan persijilan MyGap ini yang ternyata mampu memberi pulangan hasil lebih tinggi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!