Lebih 3 juta murid terima bantuan awal persekolahan

Maszlee
Maszlee
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan menyalurkan Bantuan Awal Persekolahan kepada lebih tiga juta murid Tahun 1 sehingga Tingkatan 5 bermula hari ini.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, kementerian memperuntukan sebanyak RM312 juta bagi bantuan tersebut melibatkan 3,121,774 murid sekolah rendah dan sekolah menengah di 10,175 Sekolah Kerajaan (SK) dan Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK).

"Setiap pelajar akan menerima RM100 setiap seorang. Agihan kepada kesemua pelajar akan dibuat pada bulan Januari dan sebarang pemotongan serta agihan selain daripada bentuk tunai adalah tidak dibenarkan sama sekali," katanya dalam satu kenyataan.

Maszlee berkata murid yang layak menerima bantuan tersebut adalah dalam kalangan isi rumah yang berpendapatan RM3,000 dan ke bawah.

"KPM memberi tanggungjawab kepada pihak sekolah untuk mengagihkan bantuan tersebut dengan segera bagi meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan keperluan persekolahan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata sejumlah RM16 juta lagi diperuntukkan untuk Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Agama Negeri (SAN) yang diuruskan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), serta sekolah swasta (persendirian) berdaftar dengan Bahagian Pendidikan Swasta KPM.

"KPM akan menyalurkan peruntukan tersebut terus ke akaun sekolah-sekolah berkenaan setelah mendapat pengesahan bilangan murid yang layak daripada JAKIM dan Bahagian Pendidikan Swasta (BPS) KPM.

"Tindakan susulan sedang diambil dengan kerjasama JAKIM dan BPS untuk menyalurkan peruntukan tersebut dengan segera dan dijangka akan disalurkan juga pada bulan ini," tambahnya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!