Dianggap 'hero' selamatkan lelaki mabuk dilanggar kereta api
CALIFORNIA - Seorang pekerja aliran transit dianggap sebagai 'hero' kerana berjaya menyelamatkan seorang lelaki yang jatuh ke landasan kereta api ketika mendekati platform.
Kejadian dramatik itu berlaku di Stesen Bay Area Rapid Transit (BART) di Oakland selepas perlawanan Liga Bola Sepak Nasional (NFL) antara Oakland Raiders dan Detroit Lions, Ahad lalu.
BART dalam satu kenyataannya berkata, kejadian tersebut berlaku apabila lelaki tersebut yang dalam keadaan mabuk secara tidak sengaja terjatuh dalam landasan kereta api itu dan berterima kasih kepada pekerjanya, John O'Connor kerana berjaya menyelamatkan satu nyawa.
"John ketika itu berada di platform untuk memastikan orang awam tidak melepasi garisan kuning sebagai langkah keselamatan dan kemudian seorang lelaki mabuk yang tersilap langkah lalu terjatuh ke landasan ketika kereta api sedang menghampiri.
"John menarik bahu sehingga dia naik ke atas platform sebelum mereka berdiri dan memeluk antara satu sama lain," lapor CNN memetik sumber sebagai berkata.
Dalam pada itu, O'Connor yang juga penyelia pengangkutan di syarikat aliran transit ketika ditemui berkata, dia melihat lelaki tersebut jatuh dan menganggarkan jarak antara kereta api itu cuma sejauh 60 meter sebelum dia menarik lelaki tersebut.
Menurutnya, dia berasa janggal dan malu apabila masyarakat memanggilnya seorang hero dan dia bersyukur kerana perlawanan NFL berlangsung pada malam itu kerana jika tidak, dia berada di rumah ketika itu.
"Secara jujurnya, saya menjangkakan kereta api itu akan membelah dua dirinya, namun saya tidak mahu melihat orang mati dan saya cuma melakukan tugas dan kerja saya. Saya berharap sesiapa tidak mengulangi kesilapan ini lagi.
"Saya sudah bekerja selama 24 tahun dengan BART dan menyaksikan banyak kemalangan yang berlaku di landasan kereta api," katanya.
Dalam pada itu, CNN juga turut memuat naik video di laman rasmi Twitternya yang memaparkan bagaimana O'Connor berjaya menyelamatkan lelaki tersebut daripada maut dilanggar kereta api.
Video yang berdurasi 59 saat itu kini tular di media sosial dan rata-rata netizen meluahkan kesyukuran kerana lelaki tersebut berjaya diselamatkan di samping kagum dengan tindakan segera yang dilakukan O'Connor.
"Ini adalah satu perkara menakjubkan, saya rasa kalau lambat sesaat itu mahu lelaki terbabit mati dilanggar oleh kereta api. O'Connor sememangnya layar digelar sebagai seorang hero," tulis Richard di Twitter.
Chirstian Naily berkata, "Saya tengok video itu, saya yang gementar, namun O'Connor memang melakukan tugas yang terbaik. BART perlu menaikkan pangkat buatnya kerana melakukan tugasnya dengan baik."
A California rapid transit employee is being hailed as a hero for rescuing a man who fell onto the tracks as a train was approaching. "It really feels awkward to be called a hero because it's what we're supposed to do," said the worker, John O'Connor. https://t.co/DAO0uvaePvpic.twitter.com/26MExSQDHR
— CNN International (@cnni) November 5, 2019
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!