Pekebun rugi lebih RM20,000 akibat pinjaman tidak wujud
KUANTAN - Tindakan seorang pekebun sayur mengambil jalan mudah dengan membuat pinjaman melalui sebuah laman sesawang di internet memakan diri apabila kerugian lebih RM20,000 akibat ditipu.
Mangsa berusia 24 tahun dari Cameron Highlands membuat pinjaman sebanyak RM30,000 itu untuk menambah modal perniagaan kebunnya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa melayari laman sesawang itu pada Oktober lalu dan membuat permohonan secara dalam talian.
Menurutnya, selepas membuat permohonan, mangsa dihubungi seorang lelaki melalui aplikasi WhatsApp yang memperkenalkan diri sebagai ejen syarikat pinjaman berkenaan untuk urusan selanjutnya.
“Mangsa meneruskan hasratnya untuk membuat pinjaman apabila ditawarkan pakej pembayaran ansuran RM780 sebulan selama empat tahun.
“Suspek meminta mangsa membuat sejumlah bayaran sebagai wang proses dan mangsa membuat beberapa pembayaran di dua akaun bank atas nama individu berbeza membabitkan jumlah keseluruhan RM20,200,” katanya.
Mohd Wazir berkata, mangsa syak ditipu apabila wang dipinjamkan tidak dimasukkan ke dalam akaunnya seperti mana dijanjikan manakala bayaran yang dibuat sudah hampir dengan jumlah pinjaman dipohon.
“Mangsa tampil membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sementara itu dalam kes berasingan, Mohd Wazir berkata, seorang wanita dari Lanchang, Temerloh kerugian RM2,000 selepas diperdaya lelaki tidak dikenali menggunakan helah tersalah hantar nombor Kod Pengesahan Transkasi (TAC).
Menurutnya, mangsa berusia 38 tahun menerima pesanan daripada seorang lelaki tidak dikenali pada 4 November lalu memberitahu tersalah hantar nombor TAC ke telefon milik wanita itu.
“Tanpa berfikir panjang, mangsa menghantar kembali nombor tersebut kepada lelaki berkenaan.
“Kira-kira jam 12 tengah hari, mangsa menerima panggilan daripada suaminya memaklumkan wang dalam akaun bank mereka kurang RM2,000 dan terdapat bukti transaksi ia telah dipindahkan sebuah akaun bank milik individu lain,” katanya.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya membuat laporan polis dan merujuknya kepada pihak bank.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!