Kerajaan salur RM740 juta untuk lapan MRSM baharu

AYAT FB: Projek itu melibatkan empat sekolah yang dalam proses pembinaan dan empat lagi dalam proses pengurusan nilai dan perolehan tanah yang dijangka mampu menawar kapasiti sebanyak 750 pelajar bagi setiap sekolah: Mara

42
42
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan menyalurkan peruntukan sebanyak RM740 juta untuk pembangunan lapan buah sekolah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) baharu di seluruh negara.

Majlis Amanah Rakyat (Mara) dalam satu kenyataan berkata, projek itu melibatkan empat sekolah dalam proses pembinaan dan empat lagi dalam proses pengurusan nilai serta perolehan tanah yang dijangka mampu menawar kapasiti sebanyak 750 pelajar bagi setiap sekolah.

"Empat buah MRSM sedang dalam pembinaan itu adalah MRSM Bagan Datuk (62.86 peratus) dan MRSM Bera (52.79 peratus) yang akan melaksanakan program Ulul Albab.

"Program usahasama Mara dan Petronas bagi pembinaan MRSM Ranau dan MRSM Bintulu pula kini telah mencapai status pelaksanaan sebanyak 14 peratus.

"Selain itu, empat sekolah yang masih melalui proses pengurusan nilai dan proses perolehan tanah pula adalah, MRSM Sik, Tanah Merah, Dungun dan Lawas," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, sebuah projek MRSM yang diumumkan sebelum ini iaitu MRSM Ketereh ditangguhkan berikutan kajian semula keperluan dan kesesuaian pembinaan MRSM baharu di negeri Kelantan dilakukan.

"Pembinaan MRSM Ketereh melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM120 juta ditangguhkan selepas Mara mendapati lima buah MRSM sedia ada di Kelantan masih mampu menampung keperluan pelajar dari negeri itu dan negeri bersempadan dengannya.

"Selain itu kedudukan tapak cadangan MRSM Ketereh juga adalah berdekatan dengan MRSM Pengkalan Chepa dan MRSM Tumpat, bahkan jarak tapak cadangan ini hanyalah sejauh 5.4km sahaja dari MRSM Pasir Tumboh.

Artikel Berkaitan:

"Tapak pembinaan MRSM baharu perlu mengambil kira pelbagai faktor termasuk demografi," katanya.

Mengulas lanjut mengenai jumlah peruntukan besar yang diterima untuk tujuan pembangunan MRSM itu, Mara berkata, ia jelas menunjukkan komitmen kerajaan untuk memastikan usaha pembangunan modal insan bumiputera terutamanya di luar bandar sentiasa diperkasa dan menjadi keutamaan.

"Mara akan sentiasa berusaha untuk memastikan agenda pendidikan digerakkan secara strategik bagi memenuhi keperluan negara di masa hadapan," katanya.

Ketika ini, sebanyak 53 buah MRSM sedang beroperasi di seluruh negara dengan jumlah keseluruhan pelajar semasa seramai 36,972 orang.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!