Pelajar UUM santuni penduduk Kemboja

Peserta bergambar kenangan bersama pelajar Cambodia Islamic Centre (CIC) setelah tamat aktiviti di sekolah terbabit.
Peserta bergambar kenangan bersama pelajar Cambodia Islamic Centre (CIC) setelah tamat aktiviti di sekolah terbabit.
A
A
A

SINTOK - Seramai 17 orang pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) menimba pengalaman berharga di bumi Kemboja apabila berpeluang menyantuni penduduk Islam di negara dunia ketiga berkenaan.

Pelajar berkenaan yang mengikuti Cambodia Outreach Programme anjuran Majlis Tertinggi Jawatankuasa Kepimpinan Pelajar Inapan Siswa SME Bank berkampung di sana mulai 25 hingga 31 Oktober lalu.

Pengarah program, Nik Nurin Khalishan Saiful Johar berkata, program yang julung kali diadakan itu memberi pendedahan kepada pelajar tentang gambaran sebenar kehidupan penduduk di sana.

Menurutnya, selain melakukan kerja-kerja kemasyarakatan lawatan itu juga bertujuan untuk mengubah cara hidup penduduk.

"Antaranya kita memberi pendedahan kepada sekolah Nurul Iman tentang sistem pembuangan sampah yang betul selain mendidik mereka bagaimana bahan buangan itu kemudiannya boleh digunakan semula sebagai baja.

"Selain itu, kita juga menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM4,000 kepada sekolah berkenaan bagi membiayai kos pembinaan tempat pembuangan sampah," katanya kepada Sinar Harian

Nik Nurin Khalishan berkata, melihat sambutan yang memberangsangkan daripada semua pihak, beliau berharap program itu dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

"Skop program ini bukan sahaja untuk membantu penduduk di negara dunia ketiga sebaliknya turut mendidik peserta terlibat erti kesyukuran dan nilai sayangkan negara.

Artikel Berkaitan:

"Mungkin apabila keluar melihat sendiri kesusahan negara orang, barulah kita sedar kenikmatan yang dirasai sebagai rakyat Malaysia," katanya.

Sementara itu, seorang peserta, Adam Aiman, 20, berkata, dia melihat kesukaran di bumi Kemboja bukan sebagai satu masalah sebaliknya peluang kepadanya untuk berbakti kepada insan sesama Islam.

"Sepanjang program kami di sana, kami berpeluang memberi sumbangan dalam bentuk fizikal dan tenaga serta intelektual di setiap tempat yang kami lawati.

"Walaupun berdepan sedikit kesukaran kerana tidak ramai penduduk di sana yang boleh berbahasa Inggeris tetapi Alhamdulillah segalanya berjalan lancar dengan bantuan jurubahasa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!