Chuan Lock perjuang isu pendidikan berbekal dana kempen RM1,000
PONTIAN - Isu menaik taraf kualiti pendidikan penduduk Parlimen Tanjung Piai menjadi antara perkara yang diperjuangkan calon bebas, Dr Ang Chuan Lock, 49.
Mengakui hanya mempunyai dana kurang RM1,000 untuk berkempen, anak jati bandar Pontian berkelulusan doktor falsafah bidang Komunikasi Pemasaran itu melihat keperluan kewujudan satu institusi pengajian tinggi awam atau swasta bagi mengubah taraf kehidupan penduduk di sini pada masa hadapan.
"Selain itu, saya melihat isu penguasaan kepelbagaian bahasa mencakupi masyarakat majmuk di negara ini perlu diberi tumpuan khusus kerajaan bermula peringkat sekolah rendah.
"Bagi saya, penguasaan kepelbagaian bahasa membolehkan masyarakat berbilang kaum di negara ini lebih menghormati kaum lain dan hidup lebih harmoni," katanya pada sidang akhbar di Taman Seri Maju di sini hari ini.
Chuan Lock yang mengusahakan pusat tuisyen di beberapa daerah termasuk Pontian berkata, pihaknya tidak menaruh sebarang harapan dan bersedia berdepan kehilangan deposit pilihan raya susulan keputusan bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini.
Menurutnya, pihaknya juga merancang memfokuskan kempen mendekati pengundi Parlimen Tanjung Piai secara komunikasi digital dengan aplikasi laman sosial Facebook dan WhatsApp menjadi pilihan utama.
"Saya juga tidak turun berkempen secara fizikal kerana mengambil kira soal dana kempen pilihan raya sangat sedikit sekitar RM1,000 diikuti kebimbangan faktor keselamatan.
"Keputusan saya bertanding pun secara mengejut tetapi disokong ahli keluarga dan bekas pelajar yang pernah mengikuti pengajian pusat tuisyen saya. Apa pun saya menganggap objektif saya bertanding sudah berjaya kerana mesej perjuangan dalam isu pendidikan sudah disampaikan kepada rakyat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!