Tapak asrama diambil semula, 59 anak yatim perlu bangunan baharu

Tanah seluas satu hektar yang diwakafkan kepada YAAM bagi pembinaan bangunan baharu Asrama Anak Yatim dan Miskin An Nur Maisarah.
Tanah seluas satu hektar yang diwakafkan kepada YAAM bagi pembinaan bangunan baharu Asrama Anak Yatim dan Miskin An Nur Maisarah.
A
A
A

IPOH - Yayasan Amanah An Nur Maisarah (YAAM) memerlukan sumbangan orang ramai bagi membina bangunan baharu asrama anak yatim selepas diarah berpindah dari tapak asal di Batu 9, Chemor di sini.

Bangunan yang bakal menempatkan asrama dua tingkat, dewan terbuka dan bilik pentadbiran itu dianggarkan bernilai RM1.6 juta, dibina di atas tanah wakaf berkeluasan lebih satu hektar.

Pemegang Amanah YAAM, Tan Sri Abdul Rahman Abdul Hamid berkata, sebelum ini asrama yang menempatkan 59 anak yatim dan miskin itu beroperasi di atas tapak seluas 1.4 hektar dengan kadar sewaan RM450 sebulan sejak 2002 lalu.

Bagaimanapun menurutnya, awal tahun ini, waris pemilik tanah menghantar notis menuntut agar kawasan itu dikosongkan segera.

"Mengikut notis diberikan, bangunan ini perlu dikosongkan pada 31 Oktober lalu namun kami memohon tempoh sehingga bangunan baru dapat disiapkan.

"Buat masa ini, kerja-kerja awal termasuk pembersihan di tapak baru telah dimulakan sejak empat bulan lalu, kita belum mempunyai dana yang mencukupi untuk memulakan pembinaan yang dijangka mengambil masa satu tahun," katanya pada sidang akhbar hari ini.

Hadir sama Pengarah YAAM, Dr Fazillah Nordin dan Presiden Dewan Perhimpunan Melayu Perak (DPMP), Datuk Zahar Hashim.

Abdul Rahman berkata, tapak baharu yang diwakafkan atas nama yayasan itu hanya terletak kira-kira 500 meter dari lokasi rumah kebajikan sekarang.

Artikel Berkaitan:

Katanya, YAAM yang menerima geran tahunan RM10,000 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) meneruskan misi kebajikan dan pendidikan dengan membela nasib anak yatim dan miskin dari seluruh negara.

"Setakat ini, kita mempunyai 75 penghuni yang berusia antara satu tahun hingga 18 tahun, 59 daripadanya tinggal di Asrama Anak Yatim dan Miskin An Nur Maisarah ini dan selebihnya sedang belajar di asrama penuh.

"Di bawah yayasan, kita turut melaksanakan bantuan saraan bulanan dan bekalan makanan seperti beras kepada 63 warga emas kurang berkemampuan yang tinggal di sekitar Kuala Kangsar, Chemor dan Kanthan," katanya.

Dalam pada itu, Zahar berkata, mana-mana badan korporat dan syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) yang berhasrat menyumbang di bawah program tanggungjawab sosial akan diberikan pelepasan cukai.

"Bagi menambah suntikan dana pembinaan bangunan ini, kita juga merancang mengadakan makan malam amal dengan menyasarkan kutipan RM500,000," katanya.

Mereka yang ingin menyumbang atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh terus menghubungi talian 05-2014423.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!