Sekolah pondok tak berdaftar guna agama minta derma

Salah satu tabung yang digunakan sekolah pondok itu untuk meraih kutipan derma orang ramai.
Salah satu tabung yang digunakan sekolah pondok itu untuk meraih kutipan derma orang ramai.
A
A
A

JASIN - Sebuah sekolah pondok yang tidak berdaftar, di sini, ibarat 'penunggang agama' apabila sanggup menggunakan agama bagi mengutip derma orang ramai

Lebih menyedihkan, madrasah yang telah bertahun wujud di tepi jalan itu mampu meraih kutipan derma hingga RM1.8 juta sebulan walaupun surat pembatalan pusat pendidikan telah diberikan oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) pada 14 Oktober lalu.

Sumber berkata, difahamkan sekolah pondok yang berdaftar atas nama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu mempunyai 1,500 tabung yang mampu mengutip antara RM100 hingga RM200 sebulan menjadikan jumlah pendapatan sehingga RM300,000.

Menurutnya, selain di Melaka, NGO yang menjalankan sekolah pondok itu turut mengedarkan ribuan tabung di Negeri Sembilan, Selangor, Johor, Perak dan Pahang yang dikutip dengan cara sama untuk kegunaan pelajar sekolah berkenaan.

Malah katanya, hasil kutipan derma yang diperoleh atas nama keperluan pertubuhan itu sebahagiannya bernilai ratusan ribu ringgit turut didakwa disalurkan kepada individu dianggap ‘tok guru’ yang berada di negara jiran.

"Walaupun pendaftarannya telah dibatalkan, namun sekolah berkenaan masih terus aktif mengedarkan tabung kutipan derma mereka di kedai makan, runcit dan stesen minyak yang menjadi tumpuan orang ramai.

"Hasil kutipan itu sebahagiannya diserahkan kepada ‘tok guru’ mereka di negara jiran yang juga bekas kakitangan sekolah berkenaan yang didakwa beroperasi sejak 2010," katanya.

Sementara itu, Pengarah JAIM, Datuk Md Azhan Samat berkata, pihaknya telah membuat pembatalan pendaftaran sekolah berkenaan yang selama ini diberikan pendaftaran sementara hingga akhir tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun menurutnya, JAIM terpaksa membatalkan pendaftaran lebih awal kerana didapati melanggar beberapa seksyen mengikut Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Melaka) 2002.

"JAIM juga ada terima aduan berhubung pengedaran tabung derma baru-baru ini dan telah menegur pihak sekolah yang sepatutnya dijadikan sebagai iktibar dan tidak mengulanginya," katanya.

Ketua Polis Melaka, Datuk Mat Kasim Karim berkata, hingga sekarang pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung pondok berkenaan yang mengutip derma sebanyak RM1.8 juta sebulan walaupun surat pembatalan pusat pendidikan telah dikeluarkan JAIM.

"Walaupun tidak menerima laporan, pihak polis sentiasa bersedia memberikan kerjasama membantu jabatan berkenaan menguatkuasakan undang-undang jika diminta," katanya.

Menurutnya, modus operandi sama yang menyalahgunakan institusi agama tidak berdaftar seperti ini bagi mengutip derma sering kali berlaku termasuk menggunakan anak yatim bagi kepentingan peribadi.

"Ini sama juga eksploitasi dan saya menyeru kepada masyarakat khususnya orang Islam untuk menyalurkan derma di tempat yang diiktiraf atau berdaftar," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!