UMK meterai MoU dengan Universitas Trisakti
BACHOK - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Universitas Trisakti, Indonesia dalam mengangkat selain memartabatkan warisan serta teknologi kreatif di negara ini.
MoU antara kedua-dua universiti tersebut berlangsung sempena Persidangan Antarabangsa Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) Kali Pertama 2019 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Bachok di sini hari ini.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Ts Dr Zaliman Sauli berkata, bertepatan dengan peranan UMK itu sendiri, Fakulti Teknologi Kreatif dan Warissan (FTKW) menggalas satu tanggungjawab besar untuk mengetengahkan warisan supaya ia selari dengan perkembangan dunia hari ini.
“Terdapat banyak persamaan antara rumpun di negara ini dengan Indonesia yang boleh diangkat menerusi pertukaran akademik, penyelidikan selain mobiliti penuntut kedua-dua negara.
“Pada tahun 2020 persidangan antarabangsa kali kedua akan diadakan di Indonesia hasil kerjasama antara kedua-dua universiti dan UMK melihat ini satu peluang terbaik untuk menterjemahkan keberhasilan daripada persidangan,” katanya pada sidang akhbar di UMK Kampus Bachok di sini hari ini.
MoU tersebut ditandatangani Dekan Fakultas Seni Rupa dan Desain, Universitas Trisakti, Dr Sangayu Laksemi bersama Dekan FTKW UMK, Prof Madya Ahamad Tarmizi Azizan disaksikan Zaliman.
Sementara itu, mengulas mengenai persidangan dua hari berakhir semalam yang melibatkan 1,000 penyertaan dari Indonesia, Thailand dan universiti tempatan itu, Ahamad Tarmizi berkata, sebanyak 40 kertas kerja berjaya dihasilkan.
Beliau berkata, isu yang dibangkitkan adalah secara terasnya tertumpu kepada warisan dan teknologi kreatif dalam mendepani cabaran perkembangan kemodenan dunia semasa.
“Initipatinya berkaitan dengan warisan. Mereka menyentuh mengenai topeng dan keunikan ukiran di Indonesia selain mahu mengangkat semula bahasa-bahasa yang lama. Wakil Malaysia pula banyak berbincang tentang teknologi kreatif dan warisan yang mempunyai kesinambungannya,” katanya.
Ahamad Tarmizi berkata, dengan terlaksananya persidangan antarabangsa kali kedua itu ia dapat memastikan suatu masa nanti UMK tidak lagi dianaktirikan dalam konteks perkembangan dunia teknologi khususnya dalam memartabatkan warisan.
“Dunia dapat melihat warisan kita adalah warisan yang asli bukan warisan yang dimanipulasi, (contohnya ada) yang ambil watak negatif sahaja dari tempat kita untuk diangkat dan dijulang.
“Sebenarnya banyak lagi warisan yang nilainya sangat baik harus diangkat di peringkat dunia. UMK akan memainkan peranan menjadi platform untuk menjulang warisan di peringkat tertinggi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!