Hadi Fayyadh pasang hajat

Hadi Fayyadh Abdul Razak menekankan aspek keserasian bagi menjamin tempatnya dalam kesebelasan utama skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara bagi menghadapi Sukan SEA 2019 di FIlipina. -Foto FAM
Hadi Fayyadh Abdul Razak menekankan aspek keserasian bagi menjamin tempatnya dalam kesebelasan utama skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara bagi menghadapi Sukan SEA 2019 di FIlipina. -Foto FAM
A
A
A

PENYERANG tinggi lampai, Hadi Fayyadh Abdul Razak menekankan aspek keserasian bagi menjamin tempatnya dalam kesebelasan utama skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara bagi menghadapi Sukan SEA 2019 di FIlipina.

Menurutnya, setiap pemain yang disenaraikan pada sesi latihan kali ini memiliki kelebihan masing-masing bagi menambat hati pengenali skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee.

"Bagi saya paling penting adalah keserasian dengan pemain lain. Sebagus manapun pemain itu (tetapi) kalau tidak serasi, itu akan jadi masalah. Saya akan buktikan prestasi terbaik saya.

"Insya-ALLAH jika ada rezeki saya untuk mendapat kesebelasan utama nanti tetapi tiada sebarang jaminan, itu keputuan coach Datuk Ong," katanya kepada pemberita semasa sesi latihan hari kedua skuad B-23 negara di Padang Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini.

Hadi Fayyadh berkata, stamina dan kecergasannya masih berada pada tahap terbaik kerana dia masih mempunyai tugasan setiap minggu bersama kelabnya, Fagiano Okayama yang bersaing dalam Divisyen Dua Liga Jepun (J2).

"Kita tahu liga di sana (Jepun) antara liga yang hebat dalam bola sepak di Asia. Jadi setiap pemain sentiasa bekerja keras untuk membarisi pasukan masing-masing," ujarnya.

Ketika ditanya tentang kegagalannya membantu skuad B-23 melayakkan diri ke pusingan akhir Kejuaraan AFC B-23 tahun depan, pemain berusia 19 tahun itu memberitahu, dia mahu melihat situasi itu dari sudut positif.

"Kegagalan itu akan menjadi pembakar semangat untuk saya menjadi lebih bagus bagi memastikan Malaysia mampu meraih pingat pada Sukan SEA nanti," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pemain tengah Kedah, Mohammad Fayadh Mohd Zulkifli Amin, 21, yang teruja dapat disenaraikan pada sesi latihan kali ini bertekad membuktikan kelebihan yang ada padanya bagi memikat hati Kim Swee untuk ke Manila.

"Dalam pasukan Kedah, saya sudah buktikan apabila jurulatih (Aidil Sharin Sahak) kerap memberi peluang saya beraksi dengan pasukan utama. Sekarang saya cuba buktikan saya boleh lakukan perkara yang sama bersama skuad B-23 negara," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!