Adakah manusia pura-pura jujur?

A
A
A

MUTAKHIR ini, banyak isu sensitif timbul khususnya yang melibatkan soal hubungan masyarakat berbilang bangsa. Walaupun kita mengandaikan hal seumpama itu tidak sewajarnya berlaku dalam Malaysia kerana setiap kaum sudah hidup bersama sejak sekian lama, tetapi kelihatannya ia hal yang sangat mustahil.

Di seluruh dunia dan di mana sahaja manusia sepertinya tidak pernah bersatu, kecuali ketika menyokong pasukan bola sepak. Itupun di kebanyakan liga besar di Eropah, pemain berkulit hitam seringkali diejek, bukan sahaja oleh penyokong lawan tetapi oleh penyokong sendiri.

Jadi apa yang peliknya jika masyarakat berlainan bangsa ini tidak pernah bersatu hati dan mencintai antara satu sama lain?

Ada orang kata bahawa mereka sebenarnya tidak rasis dan mereka akan selalu melayan semua orang dengan cara yang sama. Tetapi pada waktu lain, apabila bercakap di depan bangsa sendiri, mereka mungkin akan mengubah cara pengucapannya pula. Mereka akan menakutkan bangsa sendiri dengan ancaman bangsa lain. Ia teknik yang selalu digunapakai oleh ahli politik di Malaysia.

Benarkah bahawa manusia ini sebenarnya sangat baik hati dan tidak pernah bersikap rasis? Sebenarnya ia mungkin hal yang mustahil kerana dibandingkan dengan haiwan, manusia mempunyai sikap. Sikap inilah yang membolehkan kita menyukai atau tidak menyukai sesuatu. Ahli psikologi umumnya membahagikan sikap ini kepada dua iaitu sikap tersirat (implicit) dan tersurat (explicit). Sikap tersirat ialah sesuatu yang wujud secara automatik. Misalnya, kita melihat seseorang yang sedang merokok di kedai makan, maka hati kita secara tiba-tiba merasa jelek dengannya. Sebaliknya, sikap tersurat pula sesuatu yang kita kawal dan kita menyedarinya. Walaupun hati kecil kita tidak menyukainya, tetapi kita akan memberitahu perokok tadi bahawa adalah tidak mengapa merokok di kedai makan kerana kita juga pernah berbuat begitu sebelumnya juga.

Jadi, adakah kita ini sebenarnya sedang berpura-pura? Hakikatnya mungkin tidak ada manusia yang benar-benar jujur dalam hidupnya. Kita terpaksa berpura-pura dalam banyak keadaan walaupun kita tidak menyukainya.

Jadi daripada sikap inilah yang kemudiannya memunculkan prejudis. Kita mungkin berkata bahawa kita tidak rasis atau bercakap tentang setiap orang perlu diberikan hak yang sama rata, tetapi kita akan cenderung untuk lebih banyak melebihkan kumpulan kita sendiri dalam banyak hal. Sebab itulah, kita akan melihat betapa adakalanya tidak begitu mudah untuk bangsa tertentu mendapat pekerjaan di syarikat yang dikuasai oleh kaum yang berbeza.

Di sesetengah pintu masuk imigresen, termasuk di Amerika Syarikat atau Australia yang selalu bercakap tentang hak asasi manusia pun kelihatannya orang asing yang tidak berkulit putih kemungkinannya akan ditanya dengan lebih banyak soalan kenapa mahu ke negara berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Dalam satu kajian ke atas warga Amerika Syarikat berketurunan Eropah menunjukkan bahawa mereka cenderung untuk duduk lebih jauh, kurang rasa mesra apabila berinteraksi dengan warga Amerika asal Afrika. Malah, biasanya perbualan itu akan berakhir dengan lebih cepat. Mereka yang dikaji itu pula ialah mereka yang percaya bahawa semua kaum sewajarnya diberikan hak sama rata. Bayangkan bagaimana jika mereka ini memang seorang yang berterus terang tidak menyukai orang asing?

Sebab itu, dalam konteks perhubungan kaum di negara kita, kita boleh menilai sendiri adakah setiap daripada kita sebenarnya tidak pernah mempunyai rasa prejudis? Kita mungkin menyembunyikannya sahaja atau sekadar tidak menunjukkan bahawa kita ini sebenarnya tidak pernah bersikap rasis.

Jadi apabila ada kaum tertentu yang menuduh bahawa orang Melayu adalah rasis, atau kaum Melayu menuduh bangsa lain juga adalah rasis, lebih baik jika kita tidak menyalahkan sesiapa.

Tatkala orang bukan Melayu begitu marahkan dengan pengenalan tulisan Jawi di sekolah walaupun hanya dalam beberapa muka surat, orang Melayu pula mula bercakap tentang sekolah vernakular kaum bukan Melayu di Malaysia. Kita lebih cenderung untuk mencari salah orang lain terhadap diri kita, tetapi jarang mencari bagaimana kita boleh bersama memperkayakan kepelbagaian bangsa ini.

Bilakah semua orang di Malaysia ini akan berhenti bercakap hal berkaitan bangsa sendiri? Ia mungkin akan terus diperbualkan sampai bila-bila. Kita mungkin boleh bercakap mengenai kewujudan bangsa Malaysia sebagai satu daripada bentuk sikap yang kita lakonkan, tetapi pada masa sama hati kecil kita akan terus menebal untuk melihat bangsa masing-masing mendapat hak yang lebih daripada orang lain.

Jika begitu, adalah terlebih baik kita diam sahaja. Jangan memomokkan sesiapa pun dengan sifat rasis dan melebihkan bangsa sendiri. Bukankah kita ini sama sahaja!

* Prof Madya Dr Mohd Awang Idris ialah pakar psikologi pekerjaan dari Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!