Bahang PRK Tanjung Piai mulai ‘panas’
BAHANG kempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai (P.165) sudah mula terasa apabila masuk hari kelima hari ini setelah proses penamaan calon selesai dilaksanakan 2 November lalu.
Suasana kempen yang kelihatan suram sejak beberapa minggu lalu, kini mula meriah dengan perang poster dan bendera termasuk billboard calon bertanding di serata tempat.
Suasana itu juga boleh dilihat di setiap Pusat Daftar Mengundi (PDM) yang dihias dengan kibaran bendera, kain rentang termasuklah poster calon.
Kemeriahan itu ditambah dengan penglibatan aktif calon-calon bertanding mengadakan program turun padang bagi menyantuni masyarakat di sekitar Tanjung Piai.
Itu belum dikira lagi dengan sesi ceramah yang dilaksanakan oleh parti-parti bertanding di lokasi tumpuan termasuk edaran risalah dan poster kepada orang ramai.
Malah, tempoh berkempen sehingga 15 November ini dihangatkan lagi dengan kehadiran pimpinan tertinggi parti dalam usaha memberikan sokongan kepada calon-calon yang bertanding kali ini.
Ternyata kehadiran pimpinan tertinggi parti terutamanya pada hari penamaan calon 2 November lalu berjaya menarik perhatian ramai sekali gus menjadikan PRK kali ini semakin meriah dari sehari ke sehari.
Bagaimanapun, dua laporan polis serta satu laporan kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah dibuat dalam tempoh lima hari yang dimulai dengan laporan polis oleh Parti Gerakan apabila billboard yang memaparkan calon mereka tumbang dipercayai akibat perbuatan sabotaj.
Semalam, Pemuda UMNO, MCA, MIC dan Pemuda Pas Johor pula membuat laporan polis berhubung penularan klip video yang dikaitkan dengan kempen rasis oleh seorang menteri kabinet.
Calon Parti Gerakan, Wendy Subramaniam semalam turut membuat laporan kepada pihak SPR berhubung kewujudan poster yang menggambarkan dirinya sebagai boneka kepada PH.
Ketiga-tiga laporan berkenaan menggambarkan kehangatan suasana kempen PRK Tanjung Piai menjelang hari pengundian 16 November ini.
Selain itu beberapa isu khususnya melibatkan golongan nelayan di Tanjung Piai turut menjadi bualan hangat sejak beberapa hari lalu.
Selain itu, antara isu lain yang menjadi bualan hangat di Tanjung Piai sudah pastinya berhubung pemberian wang sagu hati berjumlah RM2,000 hingga RM3,000 kepada golongan nelayan sebagaimana yang diumumkan kerajaan negeri Johor sejak 2016 lalu ketika pentadbiran kerajaan terdahulu di bawah Tabung Yayasan Johor.
Pemberian wang sagu hati berkenaan adalah berikutan kawasan yang terjejas akibat kerja-kerja penambakan laut selain hakisan melibatkan kawasan Parlimen Johor Baharu, Tebrau, Pulai, Gelang Patah dan Tanjung Piai.
Selain itu, golongan nelayan di Tanjung Piai turut menggesa kerajaan untuk memansuhkan cukai terhadap peralatan nelayan bagi memudahkan mereka (nelayan) untuk memiliki peralatan serta keperluan yang mencukupi.
Malah, kerajaan juga diminta untuk menyediakan pas khas untuk kegunaan serta kemudahan nelayan bagi menjalankan aktiviti lain bagi tujuan meraih pendapatan tambahan selain aktiviti menangkap ikan.
Dalam pada itu, peningkatan jumlah pelancong ke Tanjung Piai pada ketika ini juga dilihat cukup memberangsangkan terutamanya apabila laporan mengatakan kebanyakan inap desa di sini habis ditempah.
Tambah menarik apabila difahamkan bukan tuan rumah yang menetapkan harga sebaliknya individu yang membuat tempahan pula menawarkan harga kepada tuan rumah bagi mengesahkan tempahan lebih awal.
Mungkin juga disebabkan musim cuti sekolah pada ketika ini dilihat turut menyumbang kepada peningkatan tempahan bagi inap desa ini termasuk di lokasi-lokasi penginapan yang lain.
Apa pun keadaannya, PRK kali ini sudah pasti menjanjikan keunikannya yang tersendiri apabila bakal menyaksikan saingan enam penjuru melibatkan PH, BN, Berjasa, Gerakan dan dua parti Bebas.
Yang pasti, masing-masing membawa agenda tersendiri dan menjadi tanggungjawab kepada penduduk sekitar Tanjung Piai dalam membuat pilihan terbaik pada PRK kali ini.
Cuma diharapkan agar PRK kali ini berlangsung lancar tanpa melibatkan sebarang insiden yang tidak diingini.
* Shahrizal Ahmad Zaini ialah Wartawan Sinar Harian Edisi Nasional
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!