Tabah jaga isteri terlantar lima tahun
IPOH - Kasih sampai ke syurga... Itu yang boleh digambarkan kesetiaan Nor Azmi Aminuddin, 46, terhadap isterinya, Cik Hasnah Abu Hasan, 45, yang terlantar sakit sejak lima tahun lalu.
Biarpun tidak aktif seperti dahulu, kasih sayang Nor Azmi kepada isterinya tidak pernah pudar malah terus kuat.
Menurut Nor Azmi, isteri mengalami strok akibat tekanan darah tinggi secara mengejut ketika anak bongsunya berusia tiga tahun.
Katanya, pelbagai usaha dilakukan melalui perubatan moden dan tradisional untuk memulihkan Cik Hasnah tetapi keadaan masih tidak banyak berubah.
"Saya bersyukur kerana diberi kesempatan untuk menjaga isteri kerana selama ini dia banyak berkorban untuk saya dan keluarga.
"Inilah masa saya untuk membalas jasa dan pengorbanannya untuk keluarga selama ini. Saya tak pernah rasa terbeban malah gembira kerana dapat menjaganya," katanya kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di rumahnya di Kampung Paloh selepas menerima kunjungan Timbalan Ketua Srikandi Bersatu Perak, Puteri Kholijah Muhamad Rali bersama pimpinan Bersatu Bahagian Ipoh Timur dalam Program Jejak Asnaf, di sini.
Sementara itu, ketika ditanya bagaimana beliau mendapat kekuatan menjaga isteri terlantar itu, Nor Azmi berkata, kekuatan itu muncul kerana mengenangkan pengorbanan isteri menjaga arwah bapa dan ibunya ketika beliau berada di luar kerana bekerja.
"Saya sebenarnya sangat tersentuh dengan peribadi isteri yang sanggup menjaga ayah dan ibu saya sebelum ini.
“Ketika kami tinggal di Chemor, dia minta kami sekeluarga tinggal bersama ayah dan ibu di Kampung Paloh sebab nak jaga mereka.
"Alhamdulillah, ketika saya bekerja di Kuala Lumpur dan terpaksa berjauhan dengan keluarga, isterilah yang mengambil berat tentang ayah dan ibu. Bukan semua menantu boleh buat macam ini dan saya sangat tersentuh," katanya.
Nor Azmi berkata, kini setelah isterinya terlantar, dia dengan rela hati berhenti kerja demi menjaga sepenuh masa pasangannya itu.
Katanya, apabila menjaga Cik Hasnah, dia menganggap seolah-olah menjaga kedua orang tuanya kerana selama ini isterinya itu yang banyak membantu menguruskan mereka.
Beliau berkata, walaupun hidup serba sederhana, rezeki yang diterima tidak pernah putus termasuk bantuan daripada agensi kerajaan seperti Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
"Ini semua kerja ALLAH SWT, dia yang mengaturkan. Saya tidak bekerja tetapi anak-anak ada bantu selain ada orang ramai yang tahu kisah saya juga membantu.
"Saya tidak pernah menyesal berhenti kerja kerana saya mahu habiskan masa untuk menjaga isteri. Kadang-kadang saya buat juga kerja sambilan yang tak mengganggu masa saya menguruskan isteri," katanya yang sudah 23 tahun mendirikan rumah tangga dengan Cik Hasnah.
Dalam pada itu, Nor Azmi memberitahu kos penjagaan isterinya setiap bulan berjumlah RM800 termasuk membeli susu khas dan lampin pakai buang.
Katanya, setakat ini banyak pihak membantu termasuklah wakil rakyat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), orang perseorangan dan sebagainya.
Namun, yang penting bagi beliau adalah kediaman selesa kerana sekarang mereka sekeluarga tinggal di atas tanah rizab memandangkan rumah tersebut sudah didirikan sejak 35 tahun lalu.
Menurutnya, sebelum ini rumah tersebut didiami oleh bapanya malah bukan keluarganya sahaja terdapat 25 rumah lagi di kampung tersebut yang berdepan masalah sama.
Harapan beliau agar masalah kediaman penduduk di situ dapat diselesaikan bukan sahaja keluarganya kerana kebanyakan yang tinggal di situ melebihi 30 tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!