'Dirempuh ketika kemas kelengkapan'
PASIR GUDANG - Kemalangan mengakibatkan dua anggota polis yang maut dirempuh sebuah lori di Taman Pasir Putih di sini awal pagi tadi dipercayai berlaku ketika kedua-dua petugas itu sedang mengemas kelengkapan sebaik selesai melakukan sekatan jalan raya.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah berkata, kemalangan dilaporkan berlaku di Jalan Canggung Taman Pasir Putih kira-kira jam 5.30 pagi.
Katanya, dua anggota yang maut itu dikenali sebagai Lans Koperal Saifullah Mohamad, 32, dari Balai Polis Pasir Gudang dan Lans Korperal Mohamad Johari Rosli, 32, dari Balai Polis Taman Scientex.
“Kejadian dipercayai berlaku sebaik sahaja enam anggota termasuk dua mangsa meninggal dunia selesai melakukan penugasan sekatan jalan raya dan operasi cegah jenayah di Jalan Canggung, Taman Pasir Putih.
“Ketika itu keenam-enam anggota juga sedang mengemas kelengkapan ke dalam jentera polis sebelum tiba-tiba dirempuh sebuah lori yang datang dari arah Kota Masai menuju Taman Pasir Putih,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ismail berkata, siasatan awal juga mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu lori itu hilang kawalan lalu sebelum terbabas ke kiri jalan dan merempuh lima dari enam anggota berkenaan.
“Selain dua mangsa itu, tiga lagi anggota turut mengalami kecederaan dan kini sedang dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) manakala seorang lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Polis juga dimaklumkan pemandu lori yang juga lelaki berusia 47 tahun turut mengalami kecederaan ringan dan kini dirawat di hospital sama,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
ARTIKEL BERKAITAN: Dua anggota polis maut, dirempuh lori ketika buat sekatan jalan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!