KED 2019 inisiatif realisasi Kedah Digital
ALOR SETAR - Kedah Ekspo Digital (KED) 2019 anjuran kerajaan negeri baru-baru ini dilihat mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan dan perkembangan era digital di negeri ini.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, penganjuran ekspo tersebut merupakan sebahagian daripada usaha untuk merealisasikan impian melihat rakyat negeri ini menjadi peneraju kepada kemajuan tanah air dalam dunia digital kini.
"Rantau Asia kini dilihat menjadi semakin penting sebagai peneraju inovasi digital dengan kira-kira 50 peratus atau hampir tiga bilion pengguna Internet berada di Asia, sekaligus menjadikan rantau ini sebuah pasaran e-commerce yang terbesar.
"Peluang dan ruang seperti inilah yang sepatutnya diraih oleh anak-anak Kedah dengan apa yang diperlukan hanyalah kesungguhan, kreativiti dan keterbukaan untuk menerima dan mempelajari sesuatu yang baharu.
“Jika ini dapat dilakukan, tidak mustahil Kedah mampu menjadi pengeluar utama kepada bakat-bakat baharu dalam dunia ekonomi digital" katanya ketika merasmikan ekspo tersebut di pusat beli-belah Aman Central di sini baru-baru ini.
Sementara itu, Exco Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO), Mohd Firdaus Ahmad berkata, KED 2019 merupakan cetusan idea Menteri Besar Kedah sendiri.
"Adalah menjadi hasrat dan impian kerajaan negeri untuk menghimpunkan semua pemain industri dan mereka yang berada dalam industri digital dan telekomunikasi dalam satu tempat demi saling bersaing secara sihat dan produktif untuk mempamerkan teknologi dimiliki.
"Justeru, program mengetengahkan konsep 'Gaya Hidup Sihat' berkenaan disifatkan bertepatan dengan hasrat dan perancangan kerajaan negeri demi menuju ke arah perlaksanaan Kedah Digital," katanya.
Menurutnya, aneka manfaat dan pengalaman digital dipersembahkan sepanjang ekspo, seperti persembahan hologram, pengenalan teknolgi 5G, Face Recognition dan E-Sport.
"Malah,kita turut melancarkan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) peringkat negeri Kedah," katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri bercadang untuk menjadikan ekspo berkenaan sebagai acara tahunan dalam usaha merancakkan perkembangan teknologi digital di Kedah.
KED 2019 berlangsung selama tiga hari melibatkan reruai pempamer seperti Telekom Malaysia, Celcom, Digi, Maxis,Unit Media Kedah,Universiti Utara Malaysia (UUM), MDEC, Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) dan SKMM.
Terdapat pelbagai aktiviti menarik disediakan seperti pameran, Digital Talk, pertunjukan inovasi digital, e-sport competition, busker dan persembahan secara langsung.
Mengulas mengenai KED 2019, Dekan Pusat Pengajian Pengkomputeran UUM, Prof. Dr Huda Ibrahim berkata, beliau menyambut baik penganjurannya yang merupakan peluang keemasan untuk mempromosikan produk dan aplikasi dihasilkan UUM iaitu Reyoway, Slide & Read, Papan Sintok, Saikolab Talent Profiler, Hide n Seek serta Dragon Boat.
"Melalui ekspo ini, kami dapat memperkenalkan produk seperti Dragon Boat yang membantu memperkenalkan kandungan makanan," katanya.
Ketua Editor Unit Media Kedah dan Penolong Setiausaha Exco Penerangan Komunikasi dan Multimedia Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO), Mohd Juwaidi Mahmod pula berkata, KED 2019 melibatkan kira-kira 10 pempamer dan memberikan peluang kepada penduduk tempatan mendapatkan pendedahan dan maklumat berkaitan digital.
Beliau berkata, orang ramai juga berpeluang mendaftar e-wallet secara percuma selain menyertai pertandingan e-sport.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!