1.38 juta pelancong ke Bukit Bendera
GEORGETOWN - Seramai 1.38 juta pelancong dicatatkan mengunjungi Bukit Bendera sehingga 17 Oktober tahun ini dengan 874,949 adalah pelancong tempatan, manakala 505,902 merupakan pelancong asing.
Exco Pelancongan, Yeoh Soon Hin berkata, jumlah itu dijangka mengatasi jumlah pelancong pusat peranginan itu bagi tahun lalu iaitu 1.74 juta dengan 1.19 juta pelancong tempatan dan 547,503 pelancong asing.
"Kita menjangkakan jumlah pelancong bagi keseluruhan tahun ini mencecah 1.8 juta, namun ia perlu bergantung kepada beberapa faktor antaranya keadaan cuaca dan pertumbuhan ekonomi.
"Selain itu, faktor kelengkapan infrastruktur dan kestabilan politik juga memainkan peranan. Faktor-faktor ini berkait rapat dengan sektor pelancongan," katanya sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tadi.
Soon Hin berkata demikian ketika menjawab soalan Goh Choon Aik (DAP- Bukit Tambun) mengenai jumlah pelancong yang mengunjungi Bukit Bendera pada tahun ini.
Mengulas lanjut katanya, jumlah bilik penginapan sedia ada di Bukit Bendera adalah 12 bilik di Hotel Bellevue dengan kadar penginapan antara 30 hingga 40 peratus.
Menjawab tentang status cadangan pemajuan hotel di Bukit Bendera, Soon Hin berkata, Perbadanan Ketua Menteri (CMI) dipertanggungjawabkan dalam pembangunan semula Hotel Crag melalui Permintaan Untuk Cadangan (RFP).
"Kerajaan negeri telah melantik sebuah syarikat swasta berkelayakan antarabangsa untuk pembangunan dan pengurusan hotel bertaraf enam bintang. Dengan penjenamaan semula sebagai Aman Crag, dicadangkan ia dilengkapi dengan 28 buah bilik.
"Bagi menambah bilangan penginapan di Bukit Bendera, kerajaan negeri sedang berusaha mengubah suai banglo Hillside kepada Hillside Retreat yang dijangka mula beroperasi hujung bulan ini. Selain itu, sebuah hotel butik, Banglo Woodside kini sedang dalam proses RFP.
"Banglo Convalescent juga dicadangkan untuk dibangunkan sebagai hotel mesra alam dengan anggaran 250 hingga 300 bilik. Pembangunan penginapan mampu milik di kawasan Coolie Line juga sedang diusahakan dan kini ia dalam proses penyiasatan tapak," katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri melalui Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) akan terus mempertingkatkan perkhidmatan dan keselesaan pengunjung di pusat peranginan tersebut.
Beliau berkata, PBBPP juga komited dalam pemeliharaan dan pemuliharaan warisan alam semula jadi Bukit Bendera bagi mengekalkan status tarikannya sebagai destinasi pelancongan utama bagi pelancong tempatan dan luar negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!