Remaja 13 tahun diculik, dibunuh kerana pengaruh filem
GANJ BASODA - Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun diculik dan menjadi tebusan sebelum dibunuh oleh remaja berusia 19 tahun bersama empat lagi kanak-kanak di bandar Ganj Basoda, daerah Vidisha Madhya Pradesh.
Mereka dipercayai melakukan jenayah itu selepas menonton filem India Selatan yang mempunyai plot serupa.
Menurut polis, Pawan Kushwaha yang berusia 13 tahun, anak kepada Narayan Singh Kushwaha yang menjalankan perniagaan katering di Ganj Basoda dilaporkan hilang pada petang kelmarin.
Dia telah meninggalkan rumahnya dengan basikal untuk bermain pada sebelah petang dan tidak pernah kembali.
Kali terakhir dilihat bermain dengan rakannya tetapi tiada maklumat diperoleh dan keluarganya terus membuat laporan polis.
Mayat mangsa kemudiannya ditemui di padang dengan kesan kecederaan di kepala dan mulutnya diikat dengan selendang semalam.
Menerusi siasatan polis ke atas kanak-kanak yang bermain dengan mangsa memberi petunjuk kepada penangkapan Ajay Chidhar dan empat lagi kanak-kanak yang mengaku menculik Pawan untuk tebusan dan membuang mayatnya di padang.
Menurut pegawai polis yang menjalankan siasatan, Virendra Marskole, lima tertuduh telah ditangkap dan mengaku telah membunuh Pawan.
"Mayat ditemui di sebuah padang selepas tertuduh membawa polis ke tempat kejadian," katanya.
Tertuduh mengatakan menculik budak lelaki itu secara rawak selepas menonton filem India Selatan dan ketika Pawan cuba melarikan diri, mereka memukulnya dengan batu di kepala.
Menyedari mangsa tidak sedarkan diri, tertuduh telah mengikat mulut dengan selendang dan membuang mayatnya di padang tanpa membuat panggilan tebusan," kata Marskole. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!