Nelayan Tanjung Piai terima RM1,000 minggu depan: MB Johor

Datuk Dr Sahruddin Jamal
Datuk Dr Sahruddin Jamal
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Seramai 1,513 nelayan di kawasan Johor Selatan termasuk Tanjung Piai akan menerima bantuan khas nelayan sebanyak RM1,000 bermula minggu depan, kata Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Katanya, pemberian bantuan khas yang dianggarkan bernilai lebih RM1.5 juta itu akan berikan secara berperingkat melalui tiga fasa.

"Kawasan yang terlibat (pemberian bantuan khas) termasuk di Gelang Patah dan Pulai (432 nelayan), Pasir Gudang, Johor Bahru dan Tebrau (537) serta Pontian dan Tanjung Piai (544 nelayan).

"Pembayaran akan dibuat secara tiga fasa bermula pada minggu hadapan tetapi tarikhnya akan dimaklumkan oleh Exco nanti dan biasanya kami akan bagi secara serahan tangan," katanya kepada pemberita di Bangunan Dato Jaafar Muhammad di sini hari ini.

Dr Sahruddin dalam pada itu menafikan dakwaan bahawa bantuan yang diberikan sebagai 'gula-gula' sempena pilihan raya Tanjung Piai dan pemberian bantuan ini tidak tertangguh seperti yang dilaporkan kerana bantuan ini telah diberikan sejak tahun 2015.

"Bantuan khas ini bukanlah bermakna kami (kerajaan) wajib (bagi) setiap tahun, selagi ada wang di Tabung Pembangunan Nelayan Negeri Johor yang ditubuhkan pada 8 Jan 2018, kami akan bagi dan sebetulnya pemberian ini tidak tertangguh sebab data nelayan ini sentiasa berubah, kita tunggu bancian daripada LKIM (Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia).

"Bantuan ini diberikan kepada nelayan pantai yang terjejas dengan pembangunan di kawasan Johor Selatan dan sepatutnya tidak menjadi isu," katanya.

Beliau dalam pada itu mengharapkan bantuan yang diberikan dapat mengurangkan beban nelayan yang terjejas berikutan pembangunan di kawasan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini laporan media yang memetik dakwaan segelintir masyarakat nelayan di Tanjung Piai bahawa wang sagu hati atau wang ihsan yang pernah dinikmati sejak 2016, masih belum diterima sehingga kini.

Dakwaan itu antara lain menyebut nelayan telah diberikan wang ihsan sebanyak RM2,000 pada zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) sebelum dijanjikan RM1,000 oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!