'Lebih baik Sarawak sedia peluang pekerjaan daripada bayarkan PTPTN'

Maszlee Malik
Maszlee Malik
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan Sarawak dilihat lebih baik menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat negeri itu berbanding membayar RM30 juta untuk membantu menyelesaikan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) rakyatnya.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, sekiranya peluang pekerjaan disediakan dengan bayaran gaji lebih tinggi, ia pasti dapat membantu anak Sarawak menyelesaikan hutang PTPTN.

“Cuma pada saya bagi kerajaan negeri, selain daripada insentif itu (bayaran RM30 juta kepada PTPTN) elok kita berusaha untuk menyediakan peluang kerja dengan bayaran yang lebih tinggi.

“Kerana itu adalah lebih mampan dan lebih akan meningkatkan taraf ekonomi rakyat bila mereka mempunyai gaji yang lebih tinggi, mereka boleh membayarnya.

“Yang lebih penting kita inginkan kelangsungan jadi kita galakan mana-mana kerajaan negeri membuka lebih banyak peluang pekerjaan yang lebih mampan dan juga bergaji tinggi untuk rakyat,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Dalam perkembangan sama, Maszlee mengulangi PTPTN telah menawarkan insentif dengan menggalakkan majikan membayar hutang PTPTN pekerja dengan jaminan mendapat pelepasan cukai.

“PTPTN telah menawarkan beberapa insentif cukai dan ini telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan. Kita menawarkan kepada mana-mana majikan untuk membayarkan hutang PTPTN kepada pekerja-pekerja mereka.

“Mereka akan diberikan pelepasan cukai dan kita menggalakkan semua pihak majikan, swasta dan juga kerajaan negeri mana-mana pun untuk melunaskan bayaran hutang pekerja mereka,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Maszlee berkata demikian mengulas mengenai langkah kerajaan Sarawak memperuntukkan RM30 juta menerusi belanjawan negeri untuk membantu anak Sarawak yang menghadapi kesukaran membayar balik pinjaman PTPTN.

Perkara itu diumumkan Ketua Menteri, Abang Johari Openg ketika pembentangan Belanjawan Negeri 2020 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-18.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!