SELAYANG - Seorang bapa mengaku tidak salah atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak tirinya sejak tiga tahun lalu sehingga Mei tahun ini di dua Mahkamah Sesyen Selayang berasingan di sini hari ini. Tertuduh, Mohamad Johari Irun, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan sama dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen 1, Syafeera Mohd Said dan Hakim Mahkamah Sesyen 2, Maziah Joary Tajuddin. Mengikut pertuduhan Mohamad Johari yang bekerja sebagai pemandu lori didakwa melakukan amang seksual fizikal pada Mei 2017 jam 1 pagi dengan menggosok dan meraba kemaluan mangsa di sebuah apartmen di Bandar Baru Selayang. Tertuduh kemudian didakwa melakukan perbuatan berulang terhadap mangsa dengan meraba bahagian belakang badan anak tirinya berusia 16 tahun pada jam 1 pagi Februari dua tahun lalu di lokasi yang sama. Dalam pertuduhan selanjutnya, pada April 2018, tertuduh turut didakwa melakukan perbuatan berkenaan pada jam 6 pagi di sebuah lokasi berlainan di Batu Caves Selayang, dengan meraba dan menggosok punggung mangsa. Dalam pertuduhan selanjutnya tertuduh sekali lagi didakwa melakukan perbuatan berulang kepada mangsa pada jam 1 pagi juga di sebuah rumah di Batu Caves Selayang dengan cara menggosok punggung dan kemaluan mangsa. Mengikut pertuduhan berikutnya tertuduh turut sekali lagi didakwa melakukan amang seksual juga pada jam 1 pagi terhadap anak tirinya Mei tahun ini. Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan dihukum sebat serta tambahan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan hendaklah dihukum dengan dua sebatan dan melakukan kesalahan di bawah seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual 2017. Mengikut hukuman itu juga tertuduh boleh dihukum di bawah seksyen 14 Akta yang sama dan dibaca bersama seksyen 16 dan boleh dihukum di bawah peruntukan yang sama. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Arunjothy M Selvaraju dan Nurul Ain Shafie. Bagaimanapun tiada sebarang jaminan ditawarkan terhadap tertuduh. Tarikh 12 Disember ini ditetapkan sebagai sebutan semula kes.