Soletechnics spa kasut sentuhan peribadi

A
A
A

APA yang bermula daripada kesukaran mendapatkan khidmat pencucian untuk kasut berjenama telah bertukar menjadi inspirasi perniagaan buat Hashimirullaili Jalaluddin membuka perkhidmatan spa kasut, Soletechnics.

Mengimbas kembali ceritanya, bekas eksekutif kanan sebuah syarikat swasta yang berusia 38 tahun itu memberitahu, idea untuk membuka Soletechnics tercetus selepas beliau tidak mahu kasut jenama Adidas yang dibelinya dahulu pada harga lebih RM300 terus menjadi lusuh dan usang.

“Saya sedih bila tengok kasut yang cantik daripada warna putih terus kotor menjadi hitam dan lusuh. Memang sayang betul dengan kasut ini dan pada masa itu, memang saya tercari-cari tempat untuk mencuci kasut.

“Mungkin sekitar tahun 2016 itu ada yang buat servis cuci kasut tapi saya tak terjumpa. Jadi saya mengambil keputusan untuk cuci sendiri berpandukan video tutorial yang dikongsikan dalam laman sosial Youtube,” ujarnya.

Kemahiran baharu Hashimirullaili memulihkan semula kasut kesayangannya yang lusuh dan kotor itu bukan sahaja menjadi bualan ahli keluarga dan rakan-rakannya, malah turut dihujani dengan permintaan agar kasut-kasut lusuh mereka dicucikan.

Menurut bapa kepada dua anak itu, beliau mendapat kepuasan dan berasa seronok apabila kasut-kasut lama yang dianggap tidak mempunyai nilai lagi dapat berubah menjadi kelihatan baharu.

“Apabila tengok sendiri kasut kesayangan boleh jadi cantik, timbul rasa yakin dalam diri.

Artikel Berkaitan:

"Sebab sebelum ini, malu rasanya bila berjalan dengan kasut kotor. Kawan-kawan dan ahli keluarga lain yang tahu saya buat servis ini kemudiannya pun ambil peluang hantar kasut ke rumah.

“Sejak dari detik itu, saya terus mengambil keputusan untuk membuka perkhidmatan spa kasut bermula daripada rumah pada awal tahun 2017 lalu sebelum menyewa di premis kedai,” katanya kepada e-Trend baru-baru ini.

Anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor itu berkata, bertitik tolak daripada hobi sama mengumpul pelbagai jenama kasut, beliau bekerjasama dengan anak saudaranya, Fariz Jalaluddin, 23, bagi mengusahakan spa kasut berkenaan.

“Kami memiliki hobi yang sama iaitu suka mengumpul pelbagai jenama kasut seperti Nike, Adidas Converse dan Vans sejak 2009 dan 2015 lagi, bahkan setakat hari ini, sebanyak 90 koleksi kasut berjaya dikumpulkan.

“Setelah menyertai ekspo Streetware Con di Quill City Mall pada bulan Julai 2017, kami telah ditawarkan untuk membuka kedai di sudut kecil di sebuah restoran di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) Kuala Lumpur,” bicaranya.

SELAIN menyediakan perkhidmatan penyucian kasut jenis sneakers, loafers, high heels dan kasut bola, Soletechnics juga ada menjalankan khidmat cuci topi, beg serta dompet.
SELAIN menyediakan perkhidmatan penyucian kasut jenis sneakers, loafers, high heels dan kasut bola, Soletechnics juga ada menjalankan khidmat cuci topi, beg serta dompet.

Perkhidmatan lain

Setelah setahun menjalankan perniagaan, kata Hashimirullaili, perkhidmatannya berdepan dengan dugaan apabila pemilik restoran tersebut memutuskan untuk menutup kedai pada bulan Oktober 2018.

“Ketika itu, kami tidak mempunyai pilihan lain dan terpaksa mencari ruang kedai yang baharu, namun kami sangat bernasib baik kerana pada masa yang sama, kedai di tingkat atas restoran tersebut telah tamat kontrak.

“Jadi kami membuat keputusan untuk mengambil alih dan berpindah ke tingkat atas kerana ia mempunyai ruang yang lebih besar untuk memudahkan kami membuat kerja dengan tempahan yang lebih tinggi,” katanya.

Selain menyediakan perkhidmatan penyucian kasut jenis sneakers, loafers, high heels dan kasut bola, Hashimirullaili memberitahu, Soletechnics juga menjalankan khidmat mencuci topi, beg dan dompet dengan rakan kerjasama, Hiprokicks yang menjual kasut dan pakaian streetwear.

“Kami juga adalah rakan niaga Red Giants Team Card dan mana-mana pemegang Red Giants Team Card akan menerima diskaun 20 peratus ke atas servis cucian kasut kami,” katanya yang memberitahu operasinya bermula jam 12.30 tengahari hingga 9.30 malam, setiap Selasa, Rabu, Khamis dan Jumaat.

MATERIAL yang digunakan untuk mencuci kasut pelanggan seperti sabun jenama Crep Protect.
MATERIAL yang digunakan untuk mencuci kasut pelanggan seperti sabun jenama Crep Protect.

PROFIL pemilik:

Nama: Hashimirullaili Jalaluddin dan Fariz Jalaluddin Zaharullaili

Asal: Petaling Jaya, Selangor

Alamat kedai: 11A, First Floor, Lorong Datuk Sulaiman 7, Taman Tun Dr Ismail, 60000 Kuala Lumpur

Instagram: @soletechnics

Facebook: @soletechnicskl

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!