PGA masuk kawasan panas, tangkap pemburu haram
SANDAKAN - Batalion 15 Pasukan Gerakan Am (PGA) Sandakan akan memulakan Operasi Bersepadu Khazanah bagi menjaga flora dan fauna di hutan belantara Sabah bagi menjejak dan memberkas pemburu haram.
Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (PGA), Datuk Mastor Mohd Ariff berkata, Batalion 15 PGA itu akan memasuki kawasan panas yang dikenal pasti bersama Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Hidupan Liar Negeri dan badan bukan kerajaan yang terlibat dalam usaha memelihara flora dan fauna di negeri ini.
“Saya pasti kita akan beroleh kejayaan (menangkap pemburu haram) seperti kejayaan yang kita peroleh di Semenanjung.
“Kita tidak menjemput sebarang pemburu haram untuk datang mengambil flora atau memburu fauna kita. Ini satu tindakan yang mengancam khazanah semula jadi untuk generasi akan datang,” katanya kepada pada lawatan kerjanya ke Ibu Pejabat Batalion 20 PGA Beluran di sini hari ini.
Pada 4 November lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, unit 'Tiger Platoon' PGA Sabah diberi tanggungjawab sebagai barisan hadapan Polis Diraja Malaysia bagi membantu pihak berkuasa melindungi flora dan fauna di Sabah.
Pengumuman Ketua Polis Negara itu berikutan keprihatinannya terhadap tiga kes penemuan bangkai gajah pygmy disyaki dibunuh di Sabah dalam tempoh 40 hari iaitu pada 25 September lepas di Tawau, 19 Oktober di Beluran dan terbaru pada 3 November di Sungai Kinabatangan.
Mastor juga berharap undang-undang berkaitan pemburuan haram di Sabah dapat dipinda supaya memperuntukkan hukuman yang lebih berat kepada penjenayah flora dan fauna.
“Saya dapati hukuman di Sabah agak lembut, berlainan daripada di Semenanjung.
“Jika boleh, kalau kita boleh dapatkan hukuman yang keras di Sabah, saya rasa kita boleh mengawal penceroboh haram daripada menghapuskan atau menjual flora dan fauna ini,” katanya.
Kes berkaitan pemburuan haram di Sabah adalah di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 yang memperuntukkan denda RM50,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!