'Saya terkejut Menteri Pertahanan nak bela nasib nelayan'- Hishammuddin
PONTIAN - Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien terkejut apabila Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu bertindak membela nelayan yang bukan di bawah portfolio kementeriannya sewaktu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Piai baru-baru ini.
Menurutnya, kenyataan Mohamad yang juga Presiden Amanah dianggap mengelirukan rakyat lebih-lebih lagi nasib anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini masih tidak terbela.
Begitu juga dengan penularan video mengaitkan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang dikatakan berkempen dalam kawasan sekolah, Hishamuddin menyifatkan beliau selaku bekas Menteri Pendidikan sendiri tidak tergamak melakukannya.
"Saya terkejut bila Menteri Pertahanan hendak membela nelayan yang bukan portfolio dia, sedangkan nasib veteran tentera dan anggotanya sendiri tidak terbela.
"Salahuddin pula, bila dia berkempen dalam sekolah, Saya selaku bekas menteri pendidikan dulu... saya sendiri tidak tergamak hendak berkempen dalam kawasan sekolah pada pilihan raya, "katanya kepada media sewaktu menyantuni pengunjung pasaraya Econsave Pontian hari ini.
Hishammudin berkata, dakwaan Salahuddin menuduh Barisan Nasional (BN) hendak menghuru-harakan negara melalui kenyataan dalam video tular itu juga tidak berasas dan berbaur politik.
Menurutnya, BN tidak pernah terlintas untuk mencetuskan huru-hara semata-mata tujuan politik.
"Mengenai kenyataan calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini minta rakyat bersyukur walaupun harga sawit rendah, dia tidak sedar peneroka Felda semua marah.
"Calon itu terbukti langsung tiada kualiti," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!