Malaysia belum sedia guna teknologi dalam pilihan raya: SPR

AZHAR AZIZAN
AZHAR AZIZAN
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia tidak akan membuat sebarang keputusan berhubung penggunaan teknologi dalam pilihan raya sehinggalah ia terbukti selamat dan boleh dipercayai, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun.

Beliau berkata, meskipun teknologi itu berkembang pesat dalam pengendalian pilihan raya, negara masih memerlukan satu kajian terperinci sebelum usaha itu dilaksanakan.

“Kita perlu mengadakan satu kajian terperinci dan sehingga kita yakin bahawa teknologi itu selamat... bahawa keselamatan boleh dijamin, kita tidak akan tertinggal sebarang keputusan berhubung penggunaan teknologi dalam pilihan raya.

“(Bagaimanapun), SPR dan semua kita tidak boleh terlepas pandang akan kegunaan teknologi bagi menggalakkan keterangkuman (bagi mendapatkan) penyertaan semua orang,” katanya pada sesi pleno mengenai Masyarakat Aman, Adil dan Inklusif: Peranan Pembaharuan Institusi pada Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2019 di sini hari ini.

Mengambil contoh kisah kejayaan kaedah mengundi secara elektronik di Estonia dan India yang tidak lari dari kontroversi, beliau menekankan bahawa kita tidak sepatutnya terburu-buru untuk menerapkan teknologi itu hanya atas alasan untuk melakukannya.

Beliau berkata, antara kebimbangan SPR adalah bagi memerangi berita palsu daripada disebarkan tanpa pemeriksaan yang terperinci dan manipulasi data yang besar.

Sidang kemuncak itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini yang bertemakan Mempercepatkan Kemajuan SDG: Pendekatan Keseluruhan Negara, yang akan menyumbang kepada idea dan strategi untuk menggerakkan Agenda Pembangunan Lestari 2030 ke hadapan dan merangsang perkongsian menerusi pendekatan keseluruhan negara yang menghadiri SDG.

Dalam perkembangan lain, Azhar mengulangi akan kejayaan mendapatkan ‘Undi18’, yang dilihat bertindak sebagai mekanisme kepada belia untuk memilih wakil mereka sendiri dan suara mereka didengar.

Artikel Berkaitan:

“Belia masa kini berhadapan dengan banyak cabaran... (sesetengah) kerana perlakuan mereka sendiri seperti mengambil dadah dan pembuangan bayi... dasar yang sedang dibuat akan mempengaruhi hari-hari mereka selepas ini tetapi mereka tidak mempunyai wakil.

“Dengan adanya ‘Undi18’, saya percaya akhirnya suara mereka akan didengar. Kerana mereka adalah masa hadapan negara ini,” katanya.

Rang Undang-undang Pindaan Perlembagaan bagi merendahkan umur mengundi dari 21 tahun ke 18 tahun diluluskan oleh Dewan Rakyat dengan sokongan kedua-dua parti sebulat suara pada 16 Julai dan diluluskan oleh Dewan Negara pada 25 Julai dengan majoriti dua pertiga.

Di samping itu, pindaan berkenaan mencadangkan pengurangan umur bagi membolehkan mereka menjadi ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri pada umur 18 tahun dan mereka juga didaftarkan secara automatik sebagai pengundi oleh SPR. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!